Sunday, May 24, 2009

Bab 2

Cepat waktu berlalu, jam sudah menginjak ke angka 11 pagi. Kerja-kerja di luar selesailah sudah, penghuni ramai yang masuk ke dalam. Memandangkan ianya hari Ahad program motivasi atau kelas-kelas bimbingan hanya akan berlangsung selepas solat zohor. Menanti waktu itu ada yang di bilik TV, ada yang di bilik sendiri, ada yang duduk di ruang makan. Marini yang baru sampai untuk ceramah petang nanti mendapatkan Imran, Liza, dan Mat yang sedang berhimpun di bilik audio.

“Abang Imran nyanyi lar,” mula Marini.
“Betul la abang…nyanyi la….meh kita pilih lagu suh Abang Imran nyanyi,” sambung Liza sambil bangun mengambil katalog lagu. Mat sudah mula memasang audio sistem. Imran mengambil katalog dari tangan Liza, di selak satu satu. Matanya membaca senarai lagu yang ada. Jarinya berhenti pada lagu bernombor 349. Lagu lama, lagu Broery Marantika. Widuri.
“Amacam ?” tanyanya. Liza mengangguk tapi Marini membantah. “Boring lagu tu. Meh Marini pilihkan.” Dia mengambil catalog itu pula.
“Ha ni baru best….Can’t Take My Eyes off You”

“Ok gak, Mat no 553”
“Ss..siap”

Azura mencari-cari Liza dan Mat. Kat luar tak de, kat bilik tv pun tak ada…dia menjengah bilik makan, pun tak de. Dia naik atas, pintu bilik audio di buka, Imran sedang menyanyi dengan penuh penghayatan. Suaranya lunak merdu. Memang sedap. Terpukau. Dia masuk senyap-senyap dan menutup pintu perlahan. Lagu Widuri di dendang dengan baik sekali. Suaranya bagus, menusuk kalbu. Dia duduk di sebelah Marini dan mereka bersalaman. Azura membuat gerak bibir, “apa kabar” , dan dibalas dengan gerak bibir juga oleh Marini, “sihat saja”. Liza datang dan mendakap Azura dari belakang membuatkan dirinya terperanjat lantas menepuk bahu gadis itu.
“Suara dia power kak. Tadi dia nyanyi Can’t Take My Eyes Off You lagi gempak.”
“Ye, power root.” Liza ketawa terkekek sebelum dicubit Marini, “Diam la kau.” Liza menekup mulutnya dari terus ketawa.
Selesai lagu, Imran berdiri kaku sebelum memberi mikrafon pada Mat, kehadiran Azura membuat dia rasa malu.
“Nyanyi satu lagi bang,” pinta Marini.
“Ish dah la tu…..dua lagu dah, kamu orang pulak continue…”
“Eh nyanyi la…..tak aci camni, saya masuk je Imran tak mau nyanyi dah..” suaranya sengaja dibuat-buat merajuk. Imran serba salah. Wanita cantik yang memukau. Lidahnya kelu. Ah, apa salahnya kalau mendendangkan satu lagu lagi.
“Mat, cari lagu Engkau Laksana Bulan” pinta Imran.
“Ooo.orite”
“Klasik tu Bang Imran, cayalah,” jerit Liza dari tempat duduknya.
Azura seakan hanyut. Dia tenggelam dalam dunianya sendiri. Dia bagaikan terpukau. Terasa lagu itu ditujukan khas untuknya. Dia tersenyum-senyum gelihati. Perasan ! Memang perasan. Ish ada yang tak kena ni. Tapi lelaki ini sungguh lain dari yang lain. Sinar matanya membuatkan Azura berdebar. Berdebar ? Tidak pernah dia mempunyai perasaan begitu terhadap sesiapa pun sebelum ini. Tapi kali ini ? Aduh ! Jadi tidak tenteram pula. Apakah jam biologinya semakin berdetik laju mengejar usianya yang semakin meningkat. Azura menarik nafas dalam-dalam, dia perlu kembali ke alam realiti. Dia tidak boleh punya perasaan begitu terhadap sesiapa pun dari mereka. Mereka ke sini untuk di bimbing bukan untuk bersuka-suka, dan dia pula, tujuan dan objektifnya adalah memberi nasihat dan semangat bukan menaruh cinta dan harapan.
“Ok dah lah…..korang la pulak nyanyi.”
“Liza la pulak…mat no 438. Kopi Dangdut,” katanya sambil mengenyit mata. Imran melabuhkan dirinya di sisi Azura yang duduk bertimpuh tampak sopan. Mengasyikkan mata memandang. Imran meluruskan kaki kiri dan membengkokkan kaki kanan. Tangan kiri dan kanannya disilang dan terletak kemas di atas kusyen memangku kepalanya. Dengan ekor matanya Azura mengusha lelaki disebelahnya, badannya kurus kering, susuk tubuh yang biasa untuk seorang penagih. Mukanya pula cengkuk menampakkan tulang pipi dan dagu, matanya seperti masuk ke dalam, tapi padanya terpancar sinar yang sangat memikat. Redup matanya memang mengoncang sukma. Sekali pandang seolah lelaki itu seorang yang sukar di dekati, senyumannya agak mahal barangkali.

Liza mula menyanyi sambil bergelek mengikut irama lagu. Memang dia boleh menyanyi dan menari. Walaupun lagaknya sedikit seksi tapi masih boleh di terima. Tidaklah seperti Gerudi Inul atau Gelek Mas Idayu. Azura tersengih-sengih melihat tingkah Liza.
“Cik Azura,” tiba-tiba Imran bersuara. Di palingkan mukanya. Mata mereka bertentangan.
“You nyanyi la pulak lepas ni,” sambungnya. Matanya di larikan dari terus bertentangan, tidak boleh lama-lama nanti susah pula.
“Ish I tak boleh nyanyi lah…suara sumbang…..” sambutnya dengan ketawa kecil. Dia membalas dengan senyum sinis. Imran bangun dan duduk bersila. Perasaan kurang enak duduk bersebelahan wanita itu menerjah dirinya. Tanpa menghiraukan mereka Imran bangun dan menuju ke pintu. Dia rasa berdebar-debar, makin lama dia di sebelah wanita itu makin kuat denyutan jantungnya. Kalau aku terus duduk sebelah si manis ni mau meletup jantung aku. Dia keluar dan menuju ke bangku batu di bawah pohon bunga cina putih. Kaki kanannya di angkat ke atas, kaki kiri menguis-guis tanah dengan selipar jepunnya. Debaran jantungnya masih berdegup kuat. Dia memandang jauh, fikirannya sengaja di kosongkan. Dia memandang kosong ke daun-daun yang menjadi penapis dari di tikam sirna mentari. Kelopak putih bunga cina bergoyang lembut di puput angin tengahari, satu dua berguguran ke tanah. Hilanglah seri si bunga kembang, layu kering di tanah. Begitulah kitaran hidup semua yang bernyawa di muka bumi ini, hidup dan mati tidak dapat di tidakkan. Diambil si bunga yang jatuh berhampiran dan dipusing-pusing antara ibu jari dan telunjuknya. Dia mengetap bibir, giginya mengigit-gigit bibir yang tipis. Gila ! Tapi wanita itu sangat memukau. Arghhhh kesal dia dengan kelakuan sendiri. Dia cuba melarikan fikirannya jauh dari wanita itu, tapi akhirnya kembali juga bermain di kotak mindanya. Serabut betul.

“Imran,” panggil Azura berkali. Jauh lamunan si pemuda ini. Apa yang disoroti hanya dia sendiri yang tahu. Apa yang dilamun, mengenang kisah lalu atau menyusun jalan untuk dilalui kala ini. Banyak yang berlegar di dalam mindanya. Semuanya itu tidak boleh diluahkan, biarlah perlahan-lahan terungkai sendiri. Perjalanan masih panjang. Hanya satu keinginan, dia tak mau kecundang lagi. Banyak harapan yang perlu dia tunaikan, banyak pengorbanan harus dia balas.

“Hmm, sorry saya tak dengar” dia keluar dari alam khayalan, rohnya ditarik menyertai jasadnya kembali ke alam realiti.
“Khayal sampai tak sedar . Awak ok ke ?” tanyanya lalu melabuhkan punggung di sisi Imran. Imran terpaksa menguit ke kanan sikit agar terdapat ruang yang lebih besar antara mereka. Bahaya ! dia tersenyum dalam hati.
“Ok saja.”
“Seronok di sini ?” Azura memalingkan muka menatap wajah lelaki itu dari tepi.
“Seronok, program di atur memang sesuai. Saya …” dia pula mengalih pandangan tapi katanya terhenti, manakan tidak sinar mata wanita itu seperti halilintar membelah bumi membuat dia hilang kata-kata.
“Apa ?”
“Emm tak de apa..” dia kembali memandang ke hadapan, seketika lepas itu muka di tundukkan melihat kaki kiri menguis tanah, melakar sesuatu yang tiada makna.
“Imran nak tak masuk dalam support team saya ?” Kakinya berhenti menguis, badannya di tegakkan semula sebelum dia melihat senyuman ikhlas dari bibir wanita itu.
“Boleh ke ?”
“Why not. You dah pilih support group ke ?”
“Belum lagi, selama ini saya masuk saja mana-mana”
“Ada jumpa yang sesuai ?”
“Belum lagi, “ suaranya perlahan antara dengar dan tidak.
“Ok kalau camtu, kita pergi isi form kat office. Jom” Azura bingkas bangun. Imran juga turut bangun dan kelam kabut menyarungkan seliparnya.

Wanita kecil yang berjiwa besar. Dia mempunyai karektar yang cukup menyenangkan, sekurang-kurangnya Imran menyenanginya. Mereka inilah kelompok manusia yang melihat manusia lain tanpa prejudis. Mereka inilah yang menjadi penggerak dan pendorong bagi manusia-manusia seperti Imran. Mereka ini tidak pernah menyisihkan kelompok manusia seperti Imran, bahkan mereka inilah yang memberi harapan dan semangat. Syukur masih ada manusia yang begini. Maka benarlah Allah itu Maha Adil.

“Dalam support group saya dah ada 7 org termasuk Imran. Mat, Liza, Marini, Karim, Chin, Vishnu. Kita akan selalu ada group discussion. Tapi Karim, Chin dan Vishnu only once a month, mereka tu dah ok nampaknya.” Imran hanya mengangguk. Dia mengisi borang sambil mendengar penerangan Azura.
“Dalam kumpulan ni kita dah anggap satu sama lain macam keluarga, apa saja yang kita rasa, suka ke gembira ke, kita kongsi sama-sama,” sambungnya lagi.

Imran terus mengangguk. Dia terkesima melihat apa yang ada di hadapannya, hati lelaki itu tersentuh, melihat sepasang mata yang bersinar-sinar seiring dengan bibir mungil yang terus melontarkan kata-kata yang mendamaikan. Wanita ini sangat mempersona. Seluruhnya tentang wanita itu amat memukau, bagaikan ada kuasa magnet yang menariknya.

“Ok dah ye…bak sini Zura letak atas meja En Aman. Lepas tu apa kata kita keluar.”
“Pergi mana ?”
“Nanti la..saya bawak awak….”
“Yang lain-lain ?”
“Tak perlu, saya nak habiskan masa dengan awak saja….boleh kan ?”

Azura mahu lebih mengenali watak Imran, senang untuk dia memberi sokongan dan perhatian. Setiap dari mereka mempunyai watak yang berbeza justeru dia perlu merumus kaedah sokongan yang sesuai untuk setiap ahli di bawah support teamnya. Pendekatan terhadap setiap individu adalah unik, cara penyampaian sesuatu mesej atau tindakan mestilah memberi impak yang paling maksima pada penerimanya.

Lelaki ini menarik, dia punya satu gaya yang tiada pada mereka yang pernah dibimbingnya. Setiap kali mata redup itu jatuh pada wajahnya dia rasa gugup, terasa apa yang mau dia katakan tunggang langgang. Detak jantungnya akan menjadi tidak normal, luarbiasa. Memang payah untuk dia, cabarannya lain benar kali ini.

Kereta melungsur ke arah Tasik Perdana. Pengunjung masih tidak ramai, mungkin baru jam 3 petang. Azura memakir kereta di deretan parkir di luar Kelab Tasik Perdana.
“Jom,”
Imran menurut saja. Hatinya tertanya-tanya apa tujuan si manis ini. Mereka berjalan beriringan di bawah pohon-pohon besar yang meredupkan panas matahari. Suasana yang tenteram, kehijauan pohon-pohon yang di jaga rapi membangkitkan rasa indah dalam sanubari.

“Berapa lama Imran terperangkap dengan dadah ?”
Imran kaku. Dia teragak-agak, mulutnya terkumat-kamit antara mahu menjawab dengan tidak, tapi untuk kebaikan apa salahnya. Lagipun memang tujuan dia ke situ hendak pulih. Dan tujuan dia memilih untuk menjadikan Azura sebagai mentor juga adalah untuk pulih semata-mata.
“Lama, sejak I tingkatan 5, tapi sebelum tu dah cuba-cuba ganja. Jadi lebih kurang 18 tahun la I berkawan dengan dadah.” Dia tersenyum sinis.
“Ok, Insya Allah, tapi yang penting kemahuan tu datang dari Imran sendiri. Zura boleh bagi sokongan dan perhatian. Tapi Imran pun kena tolong diri sendiri. Janji ?” Dia berhenti mengejut di depan Imran, membuatkan Imran hampir melanggarnya, nasib baik cepat brek, kalu tak mau bersentuhan dengan tempat-tempat terlarang.

“Janji ?” ulangnya.
Imran tersenyum. Dia mengangguk, tangan kirinya diselukan dalam kocek jeans sementara tangan kanan pula memicit pangkal tengkuknya.
“No no, you have to say it,” Azura membulatkan matanya. “Nyatakan dengan kesungguhan.”
“Saya janji” Imran tersenyum. Puas hati ? Susah betul nak jadi orang baik ni.
“Janji harus pada diri sendiri, ikhlas kerana diri sendiri.”
Imran mengangguk saja. Hai memang sukar mau berubah. Tapi setiap manusia perlu berhijrah. Hijrah dari tidak elok kepada elok. Hijrah dari baik kepada lebih baik. Itulah definasi hijrah yang patut dilaungkan. Dan dia dengan rela hati dan seikhlas jiwa raga mengatakan janji itu. Cuma sebelum ini tak pernah diluahkan, tapi sekarang janji itu seolah termaktub, janji tidak boleh diengkari, buruk padahnya.
“Satu lagi, kena mula tukar perspektif, dadah tu bukan kawan, tapi musuh. Musuh yang paling Imran nak jauhkan.” Imran diam mencerna apa yang baru di katakan. Selama ini itulah satu tanggapan dia, dadah adalah kawan paling baik dia pernah ada.
“Tapi saya ni difficult. I”m a difficult person. Lagi pun dadah ni macam dah sebati, bukan sekali , bukan dua kali I cuba kikis this habit….” dia membungkam tiba-tiba hilang kata-kata.
“Itu dulu, sekarang ni Imran dah janji kan ? Janji kena ditepati apatah lagi janji yang kita buat dengan diri sendiri.” Dia membuka semula langkah yang terhenti.

Mereka singgah di sebuah bangku, daun-daun dari pokok-pokok besar menapis cahaya mentari membuat keadaan menjadi redup dan menyenangkan. Azura meletakkan kedua-dua tangan di atas pehanya. Duduknya mengiring sedikit agar dapat menatap wajah Imran. Pandangan mata amat penting dalam memberi keyakinan. Maksud yang hendak disampaikan bisa lebih berkesan pada penerima.

“Saya start hisap ganja masa form 2, habis SPM start main fit, masa kat US saya pernah kena cocaine … tak boleh tahan saya kembali tagih heroine, lepas tu sampai sekarang segala benda saya dah cuba, tanya la apa pun, syabu, meth, ice ahhh macam-macam semua saya dah rasa.”
Dia memandang jauh ke tengah tasik. Pandangannya seolah menyorot kehidupan lampaunya. Semua bermula kerana cabaran dari kawan-kawan, juga kerana rasa ingin tahu. Kalaulah dia tahu begini hebat kesan ke atas kehidupannya pasti tidak dia endah dengan cabaran atau gejolak rasa jiwa remajanya. Mahu saja dia memutar waktu kembali tapi putaran alam menegahnya.

“ Saya rasa cam ada kat syurga” katanya melemparkan senyum yang hambar. Azura mengerutkan dahinya, dapat dia lihat ada segaris penyesalan terbit pada mata lelaki itu.
“Sekarang, selepas dua bulan di rumah tu, Imran rasa apa ?
“Sekarang ..hmmm, rasa seronok, tapi amat perit dan mengazabkan. Macam sekarang saya tak rasa nak benda tu…tapi selalunya bila saya depress saya nak benda tu.”
“Apa yang buat Imran depress ?”
“Macam-macam…”
“Contohnya ?”
Imran bangun, dia menuju ke tepi tasik. Sekumpulan angsa putih melintasi dengan penuh rasa bangga. Bangga kerana dilahirkan dengan begitu cantik dan berbulu gebu. Dia berpaling semula ke arah Azura yang sedang menanti jawapan.
“I nak hidup macam orang lain Zura, I tak mau terikat ngan benda haram tu…banyak kali I cuba but I just cannot.” Dia memilih untuk tidak menjawab soalan yang ditanya, sebaliknya bercerita. Bukankah Azura mahu tahu lebih mengenai dirinya.

Azura hanya mendiamkan dirinya. Dia beri peluang pada Imran untuk meluahkan semuanya. Memang itu yang dia perlukan, mungkin selama ini luahan hatinya tidak siapa yang memperdulikan, mungkin juga luahan hatinya mengundang ejek dan kata-kata sumbang, maka tersepitlah dia dengan perasaan yang lebih meyedihkan.

“I failed everyone in my family, I failed my ex-wife.” Dia bercangkung. Matanya berkaca.

Dia cuba menahan air mata dari gugur tapi dia tidak mampu. Bahunya terhingut-hingut menahan sedih. Azura bangun, turut sama bercangkung di sebelah Imran. Di palingkan muka Imran agar menatap wajahnya. Mata mereka bersatu.

“Imran, give yourself a chance. Jangan terus hukum diri you. Kita harungi ni bersama-sama, Zura akan sentiasa ada bila-bila masa. But I need you to be on high spirit. Always.” Pujuknya lembut.

Imran cepat menyeka air mata yang mula terbit. Malu dia berkeadaan begitu di depan seorang wanita cantik yang baru di kenali. Tapi sejak akhir-akhir ini jiwanya tertekan, dia perlu mengeluarkan semua rasa sesal yang hadir. Perlu untuk semua orang tahu bahawa dia menyesal dengan dirinya, menyesal dengan egonya yang tinggi selama ini.

“You tau tak Zura, mak I meninggal pun I tengah stone masa tu. Wife I, orang yang I sayang, my first love, I siksa jiwa dia, not only I kill her spirit tapi I bunuh anak kami yang dalam kandungan dia, dia gugur sebab masa tu i tengah high on drugs …she left me, tapi tak salah dia.” Dia menghela nafasnya, terasa satu beban berat yang menggunung dalam dadanya selama ini terlepas. Tidak pernah dia bercerita akan kekesalan itu. Semua yang dia rasai hanya di pendam. Dia hanya meluahkan semuanya pada jarum-jarum yang terisi ubat yang mengasyikkan, yang boleh membuat dia lupa akan kesedihan itu, walau dia sangat mengerti, ianya tuk sementara cuma.

Azura meletakkan jemarinya di atas jari-jari Imran. Hati lelaki ini terluka atas pilihannya sendiri. Tapi apa yang terjadi biarkan berlalu, situasi sentiasa berubah, hati turut juga boleh berubah.

“Imran, setiap manusia lakukan kesilapan. You masih ada peluang untuk baiki keadaan itu. Tapi you mesti pandang ke depan. Yakin dan sentiasa bersikap positif.” Dia menatap mata lelaki itu yang kemerahan, sendu di hatinya sudah bersarang entah berapa lama tanpa didengari terluah akhirnya.

“Zura, bukan senang untuk I lakukan ini semua. Dadah tiap-tiap hari mengamit, merayu untuk kembali bersama,” matanya kuyu, hidungnya merah, tulang rahangnya bergerak-gerak.

“Mendekatkan diri pada Allah adalah yang terbaik…jangan lupa selalu berdoa kepadaNya. Selain tu you kena keep yourself busy, dan tak boleh depress, tak boleh bersendirian, bila sendiri, fikiran you kacau and you tend to go back to your old habits.”

Imran tersenyum dan mengangguk perlahan, setuju dengan apa yang dicurahkan padanya. Itulah yang terjadi, tiap kali percubaan dia gagal kerana dirinya lemah, mudah menyerah. dalam diam hatinya memanjatkan syukur pada Allah, Dia telah menemukannya dengan seseorang yang boleh membimbing, memahami dan yang penting memberi perhatian yang sekian kali sangat dia dambakan. Aku mahu pulih Ya Allah. Tolong hambaMu ini Ya Rabbi.

“Come, let’s go.” Suara Azura perlahan.

Cukuplah dahulu. Tidak boleh terlalu gopoh, jalan masih panjang, tidak perlu terlalu mendesak takut hajat tak kesampai, tercicir di tengah jalan pula nanti. Dia bersimpati. Dia sedih. Sayang. Mengapa dunia mencipta dadah, kalau begini buruk kesannya.

Kereta diberhentikan di luar pagar rumah. Imran nampak lebih ceria. Dia lebih terbuka dan senyum terus menghias wajahnya.

“Imran, apa-apa call me. Ok ?” ucapnya dari birai tingkap kereta.
“I will, thanks and drive carefully !” ucapnya berdiri hampir di sisi kereta sebelum Azura melambaikan tangannya.

Kereta meluncur pergi, tinggallah Imran melihat kosong di jalan tar yang panas. Dia punya harapan, cuma dia harus mengapainya. Dia tersenyum dalam hati, inilah yang terakhir, aku mahu bebas. Aku mahu merdeka. Aku mahu hijrah. Inilah jihad aku, jihad memerangi hawa nafsuku sendiri. Jihad inilah juga yang teramat sukar di lakukan. Moga Allah memberkati usahanya.

Unggas petang melayang pulang. Matahari perlahan-lahan beredar. Sebentar lagi hari ini menjadi kenangan, esok menjelma dengan seribu misteri. Itulah kehidupan yang penuh liku, onak dan duri. Tapi cukuplah segala derita, pergilah jangan turuti lagi, mahu susuri jalan-jalan indah pula. Imran tersenyum dan perlahan berjalan masuk ke rumah putih yang setia menjadi tempat berteduh.

No comments:

Post a Comment