Sunday, May 24, 2009

Bab 3

Pagi Isnin yang kalut. Dia ke sana ke mari mencari bahan-bahan untuk projeknya yang terkini. Dia masuk ke kedai menjual langsir. Masih terngiang suara Datin Anna. I nak lace ya Azura, mahal pun tak pe, but I nak yang cantik dan not too heavy…you tau la I ni kan simple but my taste ni hard to please. Azura menghela nafas, kalau ada duit sepertinya dunia ini boleh di beli. Mana berkenan di simpan mana benci di buang. Gary, towkey kedai yang juga kenalannya selama bertahun-tahun menyambutnya mesra.

“Hey nona manis, when you came back from Brunei ?”
“A couple of weeks…you camna ? Ada baik ka ?”
“Not bad.”
“Ada lace ?”
“Yeap, you came the right time, I baru bawak masuk lace from Italy, come I show you.”

Memang cantik-cantik, rambang matanya. Akhirnya dia memilih design yang simple tapi elegant, lace berwarna putih susu di perindahkan dengan sulaman yang halus. Semeter RM150, 12 meter, huih mahal tapi dah itu kehendak pelanggannya. Layankan saja. Ada duit semua jalan, tak de duit jari di gigit.

Terhegeh-hegeh dia membawa bungkusan itu ke kereta, mujurlah tidak jauh. Masa itu lah juga telefonnya berdering. Sat …sat…, di humbannya ke belakang dan terus menyeluk saku jeansnya. Nombor Imran. Segera Azura menjawab.

“Hello, …” mulanya tercungap. Peluh yang terbit di dahinya dilap dengan belakang tangan kirinya.
“Hello, you busy ke ? I can call you later ..” suara Imran relaks tapi sedikit bersalah pabila dia mendengar dengusan nafas yang kuat tadi.
“Tak pe, I gi kedai, beli barang-barang untuk projek I,” telefon dipindah ke tangan kiri, sambil tangan kanannya menghidupkan enjin.
“Oh, kalau camtu tak pe lah..”
“Wait, why Imran ?”
“Hmm….hmmm…I saja nak bercakap dengan you. ”
Azura tersenyum dan terus berkata, “Oh…ok let’s talk.”
Azura lebih banyak bertanya manakala Imran menjawab, kadang dengan ringkas ye atau hmm. Dia mula memandu sambil telefon masih di telinga. Imran menarik nafas lega, jari-jari yang tadi menggigil kuat kini semakin tenang, keinginannya yang membuak-buak telah surut, bak tsunami yang tidak jadi.

Dia memandang keluar dari jendela kamarnya. Dia berasa menemui ketenangan di rumah itu. Di rumah itu dia tidak terasa seperti di penjara. Dia bebas keluar, bekerja dan melakukan aktiviti harian. Dia di ajar untuk melihat hidup ini dari sisi lain. Dia di latih untuk bagaimana melemahkan keinginan dengan menumpukan pemikiran pada perkara lain. Namun hakikat manusia yang selalu lemah dan cepat termakan pujuk rayu tidak dapat di elakkan. Untuk membina kekuatan dalaman bukanlah perkara mudah. Tapi dia kini sedar, kekuatan dalaman itu perlu di bina oleh dirinya sendiri. Bukan En. Aman, bukan Azura, bahkan bukan ayahnya, Haji. Zaki.

Begitulah cabaran yang harus mereka tempuhi untuk membebaskan diri. Tapi yang sedihnya masyarakat terus-terus menghukum tanpa sedikit pun mahu mendengar keluhan mereka.

Dia mencapai majalah National Geographic, di bacanya aritkel mengenai Global Warming, dia menyelak sebelum berhenti pada sebuah artikel mengenai kehidupan di dasar laut yang menarik minatnya, gambar-gambar pelbagai bentuk yang di rakam di amati penuh rasa takjub. Subhanallah, Maha Suci Allah yang menjadikan makhluk yang berbagai-bagai. Makhluk yang sentiasa tunduk bertasbih pada Sang Pencipta. Dia merenung seketika, dia sebagai manusia, yang sebaik kejadian sering terleka. Apakah cukup tasbih dan tahmidnya. Dia merasa kerdilnya diri itu. Cukupkah istighfar yang di lafazkan setiap kali lepas solat untuk menghapus dosa-dosa lampaunya. Allah itu Maha Pengasih. Moga saja dia sentiasa di dalam berkah dan rahmahNya.

Cuaca mendung petang itu dengan angin sudah bertiup kasar. Beberapa penghuni menonton TV, sinetron dari seberang. Dia tidak pernah mahu mengikuti sinetron walau ramai yang bercerita bagaimana seronoknya tapi hatinya tidak pernah terpanggil untuk menonton, sudahlah bahasanya sukar di fahami, walaupun pelakon-pelakonnya comel-comel. Di tinggalnya bilik itu.

Selepas asar nanti ada ceramah bertajuk “Halal dan Haram” oleh Ustaz Fauzi. Sejak berada di rumah itu dia makin seronok mendengar syarahan agama. Banyak yang tidak di ketahuinya. Malahan setiap hari Selasa dan Jumaat dia akan belajar membaca Al-Quran dengan Ustaz Malik, walaupun dia tahu membaca tapi dek kerana tidak beramal tentu saja tajwid dan mahraj salah dan berterabur. Kalau ketika kecil, belajar mengaji dengan bapanya, selalu saja di rotan, kadang sebutannya salah, tajwid tidak betul, tunggang langgang. Marah orang tua itu kalau tidak bersungguh-sungguh belajar Al-Quran.

Inilah panduan hidup kita umat Islam, kalau tidak berpandukan Al-Quran dan Sunnah mau jadi apa kita ni, itulah selalu di ulang-ulang oleh bapanya. Tapi waktu itu dia terlalu kecil untuk mengerti, terlalu kecil untuk merasai kedamaian ketika melafazkan ayat-ayat suci, tapi kini, tiap kali dia terasa kosong dan sepi, Al-Quran menjadi teman setianya, menjadi pendamai waktu jiwanya berkocak. Hati terisi, dan kedamaian meresap pabila setiap huruf di lafazkan, begitulah agungnya kita suci Al-Quran, mukjizat paling hebat di turunkan pada Nabi Muhammad S.A.W.

Usai solat Asar, Ustaz Fauzi memulakan syarahan petang itu. Imran duduk bertentangan dengan pintu, kereta dan orang yang keluar masuk dari pintu pagar nampak jelas olehnya.
“Benda-benda yang mengkhayalkan haram bagi kita. Kenapa ? Sebabnya kita akan lalai dari mengingati Allah.” Ustaz Fauzi menyampaikan ceramah dengan bagus sekali, segalanya di perincikan agar lebih jelas dan tiada kemusykilan.

Pencerahan dalam topik itu sangat penting, sementelah orang sekarang yang sibuk mengejar kenikmatan dunia tidak lagi hirau atau peka dengan halal dan haram. Sedang dia asyik mendengar ceramah, terlihat akan dia kereta Azura menjalar masuk ke perkarangan rumah itu. Kereta itu berhenti di kawasan parkir di hujung berhampiran padang. Entah mengapa hatinya berbunga. Rasa seronok. Melonjak satu perasan yang sukar di ertikan. Dia cuba menumpukan pada syarahan Ustaz, tapi fikirannya entah ke mana mujurlah juga sudah di penghujung, kalau tidak sia-sia saja duduk di majlis ilmu yang baik seperti itu. Selepas bersalaman dia lantas keluar. Rindu ? Dia mengeleng-gelengkan kepalanya. Mungkin juga.

“Lajunya, nak pergi mana tu ?” Imran tersentak, memang langkaun langkahnya lebar-lebar, takut tidak sempat bertemu dengan si dia.

Tapi suara itu mematikan langkahnya yang terburu-buru itu.

“Eh…Azura,” dia pura-pura kaget sambil memalingkan tubuh ke arah suara itu. Aduh manisnya wanita itu berbaju kurung tampak ayu dan sopan.
“Mari la duduk sini.” Tangannya menunjukkan ke ruang yang kosong di atas pangkin kayu itu.

Sebaik saja Imran melonjakkan punggungnya ke atas pangkin itu, Azura menghulurkan sebuah Tupperware. Di tolaknya ke arah Imran.

“Apa ni ?”
“I buat cookies, kot malam-malam lapar boleh makan…” kakinya yang berjuntai diayun perlahan.
“You buat ??” tanyanya sambil membuka tudung bekas itu. “Mmm sedapnya..” hidungnya di dekatkan lantas
menghidu aroma biskut coklat cip yang tersusun rapi.
“Tak rasa lagi dah cakap sedap..apa la..” dia menguntum senyum sambil menyangul rambut yang tadi di biar lepas.
“Bau pun dah tau sedap,” tanpa di pelawa dia terus mengambil dua, satu di beri pada Azura satu lagi di makan.

Berkeriup-keriup dia mengunyah biskut yang rangup itu, memang sedap, terasa seperti di beli dari kedai biskut yang famous itu.

“Sedap…ni I kena sorok….nanti Mat curi,” selorohnya setelah kunyahan itu melepasi kerongkongnya.

Azura ketawa kuat sambil menggeleng-geleng kepalanya, “Macam budak-budak.. tak perlu risau I ada bagi pada dia , Liza dan Marini.”
“Ala ingat buat untuk I je, ” selorohnya sambil tangannya mengambil satu lagi sebelum di tutup semula bekas itu.
“So you macam mana ? Apa buat minggu ni ?” matanya tidak lepas dari memandang lelaki di depannya.

Wajahnya tampak sedikit berisi, tidak seperti kali pertama bertemu beberapa bulan dulu.

“Seronok, banyak ceramah, motivasi , kadang mengantuk gak….tapi ok….lain kami tengah siapkan layang-layang terbesar,” dia cepat melarikan matanya dari bertembung dengan sepasang mata yang asyik untuk beradu tenung.

Lelah dia dengan lirikan bola mata coklat itu yang seakan menerobos dirinya, membuka pintu-pintu yang tertutup rapat.

“Ooo ye ?? Bagus tu,” Azura bingkas bangun.
“Nak ke mana ??” dia gusar kalau-kalau Azura mahu pulang tika dia masih belum puas berbual.
“I nak tengok layang-layang yang you buat,” dia mula menyusun langkah, diikuti Imran yang teragak-agak.

Kedua-dua tangannya di masukkan ke kocek seluar dan berjalan agak dua tiga tapak ke belakang, senyum masih berbekas di bibir tipis itu.

Mereka memasuki bengkel pertukangan di belakang rumah itu. Bau cat menyumbat hidung. Imran membuka jendela seluas yang boleh. Biar angin segar masuk, taklah sesak nafas dibuatnya. Mereka dikhususkan untuk menghabiskan 3 jam sehari bagi menyiapkan projek itu. Masa lain di penuhi aktiviti yang sudah dirancang. Yang penting masa harus terus di isi, minda harus terus bergerak agar ketagihan boleh dikurangkan.
“Ni dia, baru rangka je, kami sepuluh orang tengah work on this.”

Azura memerhati penuh minat lakaran yang terlukis di atas kertas putih yang dilekatkan di atas meja kerja. “Besar hasilnya nanti.” Matanya terus meneliti perincian yang di lakarkan. Memang teliti, setiap aspek di gariskan dalam lakaran itu.

“Memang, kita kan nak buat layang-layang GIANT !!” sambutnya sambil mendepangkan kedua-dua tangan separas bahu.
“Lakaran dan perincian untuk cipta layang-layang ni bukan senang, kalau salah ukur tak mau naik tinggi.”
“Siapa buat ni ?” matanya masih tertancap pada lakaran di kertas putih itu, agak takjub dengan hasilnya.

Lukisan yang sangat teknikal tetapi dia dapat memahami sementelah dia mempunyai sedikit latar belakang tentang lukisan geometri.
“Saya dan rakan-rakan, tapi yang melukis dan perincian ni saya sendiri.” Ada rasa bangga tetapi nadanya di ringankan supaya tidak kedengaran riak. Riak itukan sifat syaitan, yang di keji Islam.
“Pandainya.” Puji Azura ikhlas, matanya teralih pula pada seseorang yang sedang mengukur bilah buluh yang sudah di lurut halus.
“Tidak juga, tapi dulu kat kampung kalau masa menuai, angin kuat, kami budak-budak pakat buat layang-layang. Kami bertanding tau dan dengan bangganya saya selalu menang,” ujarnya senang hati.
Terpamer kenangan zaman kanak-kanak di wajahnya.
“Ish tak sabar saya nak tengok kita naikkan layang layang ni,” dia menyatukan ke semua jarinya membentuk genggaman lalu di dekatkan ke dadanya.
“Pertandingan dalam 4 bulan lagi, tapi sebulan sebelum hari tu kena test dulu, dibuatnya tak naik…baru haru,” bersemangat dia menerangkan semuanya pada Azura yang mengangguk-angguk.

Malam itu terasa cukup dingin. Hujan senja tadi membuatkan kedingingan mengigit tulang-temulangnya. Orang kurus kering macam dia senang terasa sejuk. Dia beralih ke kiri dan ke kanan. Tidak dapat dia memejamkan matanya. Jam sudah pukul 3 pagi. Matanya mengantuk tapi tidak boleh lena, puas di rapatkan kelopak matanya tapi sesaat kemudian pasti matanya kembali merenung siling dan kipas yang tidak bergerak.
Dia asyik teringatkan Azura, senyumannya melekat terus di hati. Kalau Azura tidak ada di sisi dia rasa rindu mencengkam, kalau ada pula dia rasa berdebar sepanjang masa. Entah mengapa hatinya mudah terpaut dengan wanita itu. Kematangannya membuatkan cepat saja hati itu sangkut.

Dia menghela nafas mengharap denyutan jantung yang melaju itu cepat mereda. Aku tak boleh jatuh cinta dengan Azura, dia terlalu baik…aku dah lukakan hati Za dan paling penting aku tak boleh menaruh apa-apa harapan. Ya Allah, sesungguhnya rasa ini datang dari Mu Ya Allah. Tolong lah hambaMu yang tiada daya ini.

Dia menangis tersedu-sedu sendirian. Orang sepertinya tidak layak untuk menyintai dan di cintai. Dia sedar siapa dirinya, dia akur dengan segala kekurangan yang ada. Dia tidak mahu membuka hatinya dan akhirnya terluka sendiri, jiwanya terlalu sensitif sekali terluka dia takut tersungkur lagi.

Dia bangun lantas ke surau di sudut halaman rumah itu. Lagu jiwa itu tidak boleh di layan, nanti pikiran-pikiran jahat menerjah membawa dia membuat perkara-perkara yang dia mahu hindari. Dia tidak mahu kalah. Dalam keheningan malam dia bersujud memohon keberkatan dan keimanan yang kuat. Dia menangis dan mengadu padaNya. Dia mengaji dan menghayati setiap kalimah Allah itu. Jiwanya kembali tenteram. Pikiran jahat sudah diusir pergi.
Dia terlena dalam ketenangan jiwa yang amat sangat di rasai. Kalau dulu, kekuatan diri seperti itu tiada langsung, kekusutan pikiran membuatkan dia lebih dekat dengan dadah. Dia akan enak dibuai kenikmatan, duka dan laranya terus hilang, dadah kawan setia yang sentiasa menghiburkan. Tapi kawan setia itu jugalah pembunuh yang membunuh kebahagiaan dia, yang merengut kesetiaan cinta dan yang membuat dia jadi derhaka, derhaka pada Allah, derhaka pada ibu dan derhaka pada ayah.

Sungguh dia menyesali waktu-waktu lampau. Kadang ketika dia duduk sendirian dia akan menangisi kesilapan lampau. Tapi perkara lepas tidak boleh di ubah, biarlah ia berlalu dan tidak berulang. Dia pohon kekuatan agar kali ini dia berjaya menyeberang lautan berapi.

Suara azan subuh menggerakkan dia. Surau sudah penuh dengan jemaah. Mereka sudah bersiap-siap untuk solat subuh. Imran bangun lantas mengambil wuduk. Usai solat subuh pagi itu, dia terus ke bilik Audio, gitar kapak dipetik. mengalunkan lagu menghiburkan hatinya yang lara.

Cinta yang terpendam, cinta yang dia sendiri larang. Aku tak boleh bermain dengan api cinta…bahaya besar kalau aku membuka pintu hati ini untuk rasa cinta itu. Lukanya hati ini biar ku tanggung sendiri. Gitar terus di petiknya. Dia asyik. Dia leka….ini lebih baik dari dia leka dengan benda haram itu. Gelodak di jiwa hanya dia yang tahu. Alunan muzik dari gitar terus mendayu-dayu mendamaikan hatinya yang luka terhiris.

No comments:

Post a Comment