Sunday, May 24, 2009

Bab 4

Mat sedang asyik membuang rumput-rumput kecil yang tumbuh sekitar bunga matahari yang di tanamnya. Bajunya dibasahi peluh. Matahari pagi baru naik sejengkal. Imran membongkok mencuci parit yang di penuhi lumut. Baru bulan lepas dia membersihkannya, sudah di tumbuhi lagi. Keringat mengalir dari dahinya. Liza dan Marini menyapu daun-daun yang berguguran ke bumi. Penghuni-penghuni lain juga sibuk dengan tugas-tugas mereka.

Ingatannya pada Azura hilang seketika. Dia berhenti dan melihat Mat bercakap-cakap dengan bunga matahari yang segar. Sudah ada 2 bunga mekar. Cantik.

“Es..sok Cc…Cik Zz..Zura dd..datang, kkau kkena kkembang lagi” Imran tersenyum. Mat cukup mengagumi Azura, begitu juga dengan dia.
“Mat, kau tanam bunga tu untuk Cik Azura ke ?” Mat hanya mengangguk, dia tekun membuang daun-daun yang kuning dari pokok bunga matahari itu.
“Dd..ddia ss…suka bb…bu..bunga,” sukar sekali untuk melepaskan kata-kata itu, dia berhenti menyeka peluh sebelum menyambung “Ccik Zzura c..cca..kap, bbun..nga ma..matahari ni, aa..kan bb..sina..sinar dd..dalam hh…hati ki..kita”
“Azura…memang pandai…” Mat mengangguk laju, setuju benar dengan komentar Imran.
“Kau sayang pada Cik Azura ke ?”
“Sa..sa..sayang ….” Mat tersengih menampakkan giginya yang kekuningan. Aku pun …aku pun mula menyayangi dia….desis Imran.

Azura termenung melihat sketchboard di depannya. Dia memandang kosong saja lakaran yang sedang dikerjakan sejak seminggu yang lalu. Fikirannya melayang jauh entah ke mana, tiada sempadan yang menyekat penjelajahan mindanya, bermacam-macam persoalan timbul tapi semuanya tiada berjawapan.

Dia menghela nafas panjang. Imran. Dia memikirkan Imran, tapi bukan seperti dia memikirkan tentang Mat atau Liza tidak juga seperti memikirkan Marini atau Chin atau Vishnu, bukan juga Karim. Dia memikiran Imran lebih dari sepatutnya.

Dia sendiri bingung, mengapalah lelaki itu sering menerjah di dalam mindanya, tidak boleh terluang sedikit pasti kelibat itu yang menjelma. Mata redup yang menyejukkan hati kala di pandang seringkali bermain dan berlegar-legar. Senyuman yang manis cukup menggetarkan dan kadangkala meyesakkan nafasnya membuatkan aliran darah yang dipam ke jantung jadi tidak menentu, sekejap laju sekejap normal.

Sayang sekali orang seperti Imran terjerumus dengan dadah. Sayang seribu kali sayang. Hati lelaki itu terlalu baik untuk terperangkap dengan najis dadah yang tidak bawa apa-apa keberuntungan.

Dia tersenyum teringatkan lagu Engkau Laksana Bulan yang di nyanyikan. Walaupun sudah beberapa bulan berlalu ianya tetap segar dalam ingatannya, tidak mungkin dia lupakan tatkala bait-bait lagu itu di sampaikan penuh perasaan, seolah-olah cuba melontarkan hasrat hati. Apa hanya itu perasaannya saja, mungkin juga sekadar suka-suka. Hai entahlah. Dia mencebik, memerli dirinya yang terperasan lebih. Lucu pula terbit di benaknya.

Pensil mekanikal di putar di antara ibu jari dan telunjuknya, pabila jatuh ke kertas yang terdapat lakaran-lakaran dia kutip dan putar semula. Seketika dia mengetuk sketchboard dengan empat jarinya mengeluarkan bunyi berderap-derap. Apakah cinta pandang pertama benar-benar wujud, tidak boleh dia faham dengan akal pemikirannya kiranya ada sekeping hati yang terpaut hanya pada pandangan pertama.

Tiada logika langsung, tapi soal hati terlalu rumit dan sulit untuk di debatkan, jiwa dan rasa yang dimainkan oleh seketul daging itu menyempurnakan kehidupan seseorang. Apa yang istimewa sangat dengan seorang lelaki bernama Imran, dia mengerut keningnya, tidak di sangkal memang lelaki itu punya daya tarikan tersendiri, dia menyorot lebih dalam, apa lagi ye…hmm mungkin kejujuran yang terpancar dari sepasang matanya itu….ya dia punya sisi gelap dalam hidupnya tapi itu tidak boleh dijadikan sebab untuk menindakkan perasaannya.

Dia mengeluh lagi , mengeleng-gelengkan kepala seolah cuba mengusir ingatan terhadap lelaki itu. Dia melangut merenung ke siling putih yang juga memandang sepi ke arahnya.

“Hey….” Satu suara yang sangat di kenalinya mengejutkannya dari lamunan yang panjang.

Bahunya di sergah membuatkan mata pensil mengariskan garis halus.

“Chis…Mimi….habis aku punya sketch, siut la kau ni”
“Lama dah aku terjegat tengok kau….kau menung apa ?? Tersengih sorang-sorang. Angau eh ?” Mimi melabuhkan dirinya ke kerusi , kasar, dia tidak peduli kalau dia baru saja merosakkan lakaran si Azura.

Azura menjeling dan dengan marah dia mengambil pemadam, perlahan dan penuh hati-hati dia memadam garis halus itu.

“Jom makan…” sambung Mimi lagi sambil tersengih memerhati Azura berhati-hati memadam .
“Aku kenyang lagi…” jawab Azura acuh tidak acuh. Panas hatinya di sergah begitu.
“Ala teman aku je lah..jom la, bukan senang nak jumpa kau sekarang….just happened aku ada kat sini tu yang aku singgah. SMS ko bukan nak jawab.”
“Eh ada ke” dia mengambil telefon, 2 mesej.

Mesej 1
Aku kat sini jom makan

Mesej 2
Hai. Hari ini semua ok. Tadi ada group discussion dengan Ustaz Ali.

Lama dia merenung mesej kedua. Dia mahu membalas tapi tangannya di tarik kasar oleh Mimi membuatkan badannya tersentak.
“Jahat la kau ni,” dia menjuihkan bibirnya, tangan kirinya menepuk bahu Mimi. Mimi hanya tersengih kelat.
“Kalau aku tak paksa camni, alamat mati kebulur aku tau,” dia terus memimpin tangan Azura yang hanya diam di perlakukan begitu.

Dek sebab mereka telah lama bersahabat jadinya tiadalah rasa marah yang keterlaluan terbit kalau hati masing-masing sudah diketahui baik budinya.

Café Purnama masih lenggang tapi nanti ketika waktu makan tengahari café itu akan penuh sehingga hendak duduk pun harus menunggu giliran. Mimi memesan makanan sementara Azura hanya memesan jus epal. Ingatannya masih pada Imran. Geram. Mengapa harus Imran yang memenuhi ruang fikirannya. Dia mengetuk-ngetuk dahinya, kot boleh gugur ingatan-ingatan terhadap lelaki itu. Mimi hanya mengangkat kening melihat perlakuan pelik kawannya itu.
“Sorry eh !” mulanya.
“Pesal ?” dahi Azura berkerut, sakit pula diketuk-ketuk tadi.
“Tu tadi aku sergah kau….”
“Kenapa ko tak mintak maaf tahun depan, lagi bagus masa hari raya,” sinis dia menjawab yang hanya di sambut ketawa besar Mimi.
“Ko kenapa ni Zu ?” dia menenung kawan yang dah dikenali sejak kecil. Kerana keakraban itulah membuatkan dia tahu benar ada sesuatu di benak wanita manis itu.
“Tak de apa lah”, katanya sambil mengibas asap rokok Mimi.
“I know something not right….come on Zu, you can’t hide it from me”. Rokok yang terbakar di alihkan jauh sedikit agar asapnya tidak menganggu temannya itu.

Azura diam, matanya dilirik ke meja sebelah. Seorang lelaki gemuk sedang asyik menikmati makan tengaharinya. Peluh mengalir di dahinya tak di hiraukan. Sedap sangat nampaknya. Berselera benar dia menikmati makanan yang penuh memumbun dalam pinggannya. Pelayan sibuk menghantar pesanan kepada beberapa pelanggan yang keluar lebih awal dari waktu makan, tidak mahu mereka bersesak-sesak, mahu hilang selera jadinya nanti.
Seorang pelayan perempuan yang genit membawa pesanan yang diminta mereka. Azura menyedut jus epalnya perlahan, dikumpul seketika di dalam mulutnya sebelum sedikit-sedikit dilepaskan melalui tekaknya yang kering. Mimi masih menanti jawapan, sabar dengan perangai temannya yang sememangnya sukar di terka, kadang-kadang membuatkan dia menyampah atas sikapnya yang terlalu berahsia.
“Hoi,” jerkah Mimi, membuatkan Azura tersedak. Hampir tersembur air yang masih terkumpul dalam mulutnya.
“Apa !!!!” Azura mula rimas di tanya terus, bengang tadi tidak habis lagi, ini pulak terus-terusan di asak.
“Malas aku layan kau ni, nanti esok dah tak tahan aku gak kau cari….lantak lah…” Mimi menenyeh rokok yang masih separuh itu ke bekas abu dan terus mengacau kuah mee kari sebelum menghirup kuahnya. Not bad, sedap gak lantas menyudu lagi kuah mee kari ke mulutnya.
Azura tersengih.
“Aku penat kerja la…latest client aku cerewet nak mampus.” Jawapan paling tepat. Kalau di ceritakan apa yang bermain dimindanya takut nanti sampai malam pun tak habis diinterogasi.
“Tulah kau, suka sangat melayan datin-datin, hah rasakan. Kalau aku sorry la,” dia terus memutarkan mee dengan garfu menjadikan satu gumpalan kecil, sebelum memasukkan ke dalam mulut. Dikunyahnya perlahan-lahan, sambil terus memerhati Azura.

“Abis tu, itu je aku reti buat, bukan cam kau, tak yah kerja pun kau leh hidup senang,” badannya di sandarkan sambil tangan kanannya menyapu biji-biji air di luar gelas kesan pemewapan.
“Weh excuse me!! Aku bukan jenis suka mengabihkan reta mak bapak aku. Tolong skit !” Azura ketawa terkekek. Mata Mimi bulat terbeliak di balik cermin mata tanpa rim. Groovy.

Mimi dengan rambut lurus di potong pendek parah bahu, bibir yang mungil dengan senyuman lebar yang menawan tambah pula sepasang lesung pipit menghias pipinya.

“Ko ngan Fariz camna ?”
“Ntah la….aku tengah angin ngan dia..” selamba dia membuat kenyataan.
“Pesal plak ?” kalinya dia merapatkan tubuh ke meja.
“Ntah, aku dua hari kat Langkawi ada photo shoot, alih-alih aku balik dia marah-marah.”
“Apasal ?”
“Entah, sindrom kurang kasih sayang la tu !!” kata Mimi tersengih-sengih, dia menyedut air perlahan-lahan.
“You dengan dia dah berapa tahun eh ?”
“Enam…gila kan enam tahun..and aku masih bertahan dengan sikap dia yang kuat jealous tu. Tapi kan…” Mimi tersengih. Matanya bersinar tiba-tiba.
“Apa ???” Dia mengambil handphone , seketika dia menayangkan imej seorang lelaki, memang kacak. Azura mengelengkan kepalanya. Entah yang keberapa.
“Cute siut…orang Langkawi..manager resort yang aku pergi tu la.” Selamba lagi. Mana tak Fariz angin.
“Ridhwan, dia angau gila ngan aku, baru je aku balik tak sampai 10 minit dia call.”
“Kau ni..gila apa, abis Fariz tu ?”
“Fariz Fariz la.…”

Telefonnya berbunyi. Alahai, Datin Ana…apa lagi tak kena. Dia mendengus. Mimi tersengih-sengih mendengar perbualan mereka. Azura yang lemah lembut, sebab tu la selalu kena pijak kepala.

“Weh I need to go, Datin wants to see me, she’s at my office now.”
“Okeh. Just go, I’ll settle everything.”
“Ok thanks Mim, I’ll call u”
“Whenever !”

Azura tersengih, setelah mengucup selamat tinggal di pipi, dia melangkah cepat. Dia berjalan melewati kedai-kedai. Waktu tengahari di kawasan itu agak sibuk dengan orang-orang yang bekerja di sekitar. Entah macam mana dia terlanggar bahu seseorang yang baru keluar dari My Kiosk. Terjatuh kotak Milo yang dalam tangan lelaki itu. Tersembur airnya di jalanan.
“Allah, sorry sorry,” katanya cuba melap air yang terkena di lengan lelaki itu.
“Tak apa, small matter.” Imran tersenyum melihat kekalutan Azura yang masih belum menyedari kehadirannya.
“Azura kalut sangat.” Siapa pulak ni, seperti pernah ku dengar suara ini, tapi di mana ya.., dia mengangkat muka. Bibir nipisnya manis mengukir senyuman. Matanya redup memandang tepat ke arah Azura.
“La, Imran, what are you doing here ?” Azura seakan terjerit melihat Imran. Cepat-cepat dia menutup mulutnya dari terlopong kesukaan. Kenalah control sikit, kalau tak malu pula.
“Just passing by. Tak sangka jumpa pulak. Your office somewhere near ?”
“Ye tu Block D,” dia menunjuk ke arah blok bangunan di hadapan.
“Oh, you nampak kalut tadi. Got something very urgent ?” Alamak, Datin Anna. Azura teringat. Kalut.
“Ye, someone is waiting for me…”
“Ok better go…see you around.”

Imran berlalu. Siapa ? Someone ? hmmmm, kacau camni. Eh kenapa pulak nak rasa camni. Cemburu? Tergelak dia sendiri. Dia melangkah ke kereta. Wajah manis itu masih lagi berlegar. Dia memasang penghawa dingin ke tahap maksima, berderu angin keluar dari corong-corong yang sedia terhala ke arahnya. Bahang mentari di luar tadi tidak sekuat bahang asmara yang mula menjentik hatinya. Semakin dia berperang menyingkir rasa itu, semakin kuat pula hentakannya yang cuba menerobos ke urat-urat jantungnya.

Dia menyisir rambutnya ke belakang. Mana nak berperang ngan dadah, mana nak berperang dengan perasaan pada minah tu…aduh confuse betul la kau ni Imran ! Dia menggelengkan kepala, gear undur di masukkan dan seketika kereta itu bergerak sebelum di ambil tempatnya oleh sebuah Kelisa yang menunggu sabar.

Sambil menanti lif, Azura sempat mengimbau kejadian tadi. Apa hal dia ke sini. Pergi mana. Sini bukan ada mall, atau kedai-kedai cuma office lot saja. Dia bertemu dengan siapa. Di buatnya dia berjumpa dengan mereka-mereka yang tidak patut tentu lebih sulit untuk sembuh. Tapi dia kelihatan baik saja tadi. Tidak nampak terburu-buru atau takut-takut. Tapi orang yang sudah biasa dengan hal-hal begitu senang hendak menyorokkan perkara sebenar. Tidaklah Azura buruk sangka, tapi dia risau.

Dalam tempoh inilah sebenarnya ramai yang tergelincir. Ramai yang tidak sanggup menahan godaan dan tawaran-tawaran hebat dari pengedar-pengedar. Tapi di sini ? Sini bukan kawasan gelap, tidak mungkin ada urusan jual beli. Tapi sekarang kawasan gelap bukan lagi pilihan pedagang-pedangang haram, tapi mereka bijak mengatur tempat operasi. Bijak bersembunyi dari pihak berkuasa. Azura mengerutkan dahinya sampai bertembung kening yang tebal itu. Pintu lif terbuka, cepat-cepat dia keluar dan berlari anak menuju ke lot pejabatnya.

“Azura, Datin Anna tunggu dalam Meeting Room. Ni pulak ada someone bagi. A guy. Good looking.” Joyce menghulurkan sejambak bunga ros pink dan lily putih.

Sebuah jambangan bunga segar indah dengan kombinasi warna yang sangat digemarinya . Ada kad terselit di celah-celah bunga yang mengharum. “For Azura, Thanks – Imran”. So sweet. Dia tersenyum meleret.
“Azura, if you diri sini lama-lama, lagi angin makcik kat dalam tu.” Joyce tersengih menampakkan giginya yang tidak teratur. Lamunannya terhenti terus, kad dimasukkan ke poket blausnya dan meletakkan semula bunga ke kaunter sebelum melangkah kalut ke bilik mesyuarat di belakang.

Usai perjumpaan yang meleret dengan Datin Anna, segera Azura membuat panggilan kepada Imran. Dia mahu mengucapkan terima kasih, dan mengatakan betapa cantik jambangan bunga itu. Segala tebakan dan kerunsingan melulunya sebentar tadi ternyata meleset. Tujuan dia ke situ adalah semata-mata untuk memberi bunga. Persoalan tadi sudah terjawab, lega rasa hati Azura. Memang tujuan Imran datang untuk berjumpa dengan Azura, sekaligus membawa dia keluar makan tengahari, tapi dia terlambat hanya 5 minit.

Dia memakir kereta di B3, kalau ikut alamat yang tertera pada kad yang di beri Azura beberapa minggu lalu , dah betul la. Block D. Bunga yang di beli semasa dalam perjalanan ke situ di pegang kemas, jantungnya berdebar, menyesal pula tidak menggunakan servis penghantaran saja. Apa agaknya reaksi Azura melihat dia datang tanpa diundang, dengan bunga pulak tu. Dia tersengih sendiri, macam hero Hindustan dah jadinya.

Dia memaling ke kiri dan ke kanan sebaik keluar dari lif. Classic Deco, papan tanda yang terpampang di pintu masuk. Ha betul la.
“Cik Azura baru je keluar lunch,” sepasang mata sibuk memandang bersilih ganti antara bunga yang dipegang dan dirinya yang berdiri tidak tentu arah.
“Oh . tak apa la kalau cam tu, can you pass this to her,” dengan rasa tidak berapa pasti dia menghulurkan jambangan bunga itu.
“Ok sure. Azura tentu suka, tak pernah dia dapat bunga-bunga ni,” perempuan India itu tersenyum memandang Imran yang mengangkat keningnya.

Tanpa sempat Joyce bertanya lebih lanjut, Imran memotong kata dengan ucapan terima kasih dan dengan cepat meninggalkan tempat itu. Kesal rasa. Kalau cepat sikit lain jadinya. Tadi sangkut di kedai bunga tu lama sangat. Pertama dia teragak-agak memilih bunga apa yang di sukai oleh Azura. Dia pulak bukanlah arif dan pakar tentang bunga-bungaan tapi dalam begitu cerewet pula. Lama dia tidak menjejak kaki ke kedai bunga, terakhir semasa mahu mengorat bekas isterinya. 10 tahun lalu. Mana tak dia bingung. Sampai Amoi bunga tu pun bengang tapi masih menunjukkan muka manis dalam keterpaksaan.

Dia membawa dirinya perlahan-lahan melalui baris-baris kedai sebelum singgah ke sebuah kedai serbaguna untuk membeli air kotak. Kering tekaknya terasa perit, tambah pula cuaca yang sangat panas, menikam-nikam kulitnya. Kesal masih berbekas di hatinya, jadi dia berharap dengan air sejuk yang melalui kerongkongnya nanti dapatlah mengurangkan sedikit rasa panas dan kesal itu.

No comments:

Post a Comment