Sunday, May 24, 2009

Bab 5

Rumah itu sepi, hujung minggu yang lembap. Hujan pagi menghadkan aktiviti. Mat dan Liza duduk di ruang makan, kopi panas masih tak di usik. Masing-masing melihat keluar, mendengar titis-titis hujan yang jatuh di genting seakan satu irama. Marini bercakap sesuatu dengan Chin yang baru datang semalam. Mereka ketawa kuat. Entah apa lah yang kelakar.

“Mat, aku susah hati la…”
“Kk..kke..napa ?”
“Semalam aku telefon mak aku di kampong, dia maki aku la. Mak aku masih marah kat aku.” Matanya merah menahan air mata dari jatuh menitis. Mat masih melihat ke luar.
“Oo..oran..g ma..ma..cam kk.ta ni..ss..susah…ddah bba…baik pun ss..ssusah.”

Liza menghela nafas. Kenapa dia tak diberi peluang untuk membasuh kotoran yang dia buat. Ketika itu dia naïf. Selesai saja SPM dia mahu ke KL. Mahu cari peluang kerja. Mahu bebas. Bertengkar dia dengan Mak Senah. Mati-mati Mak Senah tak beri.
“Apa kerja kau boleh cari, SPM pun tak lepas. Kerja kat kampong ni je.”
“Ala mak, kat KL tu macam-macam orang boleh buat.”
“Ye memang macam-macam, tapi macam-macam benda tak bagus pun ada.” Nyaring suara Mak Senah menahan kemahuan anaknya itu.
“Susah la mak ni.”

Malam itu, dia sudah nekad. Lari. Itu saja jalan terbaik, dah minta baik-baik tak bagi. Dia menurut nafsu mudanya. Dia sudah bulat membuat keputusan. Sebenarnya janji Kamal, buah hati yang dari kampung itu juga membuatkan dia berkobar-kobar mahu ke sana. Pujuk rayu Kamal tak dapat dia luputkan. Budak Kamal itu pun bukanlah baik sangat. Tapi di mata Liza, si Kamal itu adalah sesempurna lelaki.
“Kau kat sini aku boleh carikan kerja. Dok kat kampong tu ada menda…balik-balik rumah asap tu la ko cari duit. Dapat pun tak seberapa.”

Sampai di KL, malam itu juga dia hilang daranya pada Kamal. Tapi dia tak kisah. Cinta punya pasal. Mereka hidup bagai laki bini. Situ la dia mula dikenalkan dengan syabu. Letih kerja di kilang, balik dia pekena syabu memang melayang. Disko memang tempat dia bersuka ria. Siang kerja di kilang. Malam pula melayan nafsu di kelab-kelab malam. Yang jadi bapak ayam si Kamal. Tapi Liza bodoh, di biarkan aja Kamal menggunakannya, sampai la satu hari Kamal hilang. Entah ke mana. Tak ada khabar berita. Masa itu hidup dia cukup terseksa. Ketagihan yang melampau membuatkan dia di buang kerja. Dengan tiada duit dan harga diri dia menghadapi tekanan jiwa yang amat sangat.

Dia memandang jauh ke bawah, tasik Putrajaya seperti menggamit dirinya. Dia berdiri kaku di tebing jambatan yang terkenal itu. Untuk apa lagi hidup ini kalau diri terbuang, penuh di palit noda. Di ketika yang sama Azura memecut kereta melalui jalan yang sepi itu. Sudah lewat. Dalam samar-samar dinihari dia ternampak sesusuk tubuh sedang berdiri. Ni apa hal pulak ni. Pontianak ke ? Berdiri bulu romanya. Alamak ni mesti kes nak bunuh diri. Dia berhentikan kereta mengejut. Jam 3 pagi. Dingin membalut. Sepi mencengkam.

“Dik, jangan buat camni. Banyak cara nak selesaikan masalah.” Dia memberanikan diri. Kalau betul manusia dia merasa berkewajipan untuk membantu, tapi kalau makhluk Allah yang lain, dia bersiap untuk membuka langkah.

Liza berpaling, air mata berjurai di pipi. Dia memang tidak sanggup melakukan itu. Cukuplah dosa dia selama ini. Dia tak mau mati dalam kekufuran. Ternyata Allah masih sayangkan dia.

Mat meneguk kopi yang sudah suam itu. Dia bangun menghampiri Imran yang sedang membaca surat khabar. Dia tidak tahu berkata apa pada Liza, sebaiknya dia mendapatkan Imran, mungkin dia boleh memberi kata nasihat pada gadis itu.
“Bb..ang” sapanya. Imran menyahut tanpa mengangkat muka. Mat duduk di sisi.
“Apa hal Mat ?”
“Tt..u Ll..za…ss…se…dih.” Imran memerhati tingkah Liza. Kesan air mata yang baru di seka masih nampak. Hidungnya merah. Dia bangun.
“Liza ok ?” Imran duduk di sisi. Tiba-tiba Liza menjatuhkan mukanya ke dada Imran.

Imran kaku. Kaget dan penuh dengan bermacam tanda tanya. Perempuan menangis di dadanya. Dia tidak tahu berbuat apa. Marini dan Chin terdiam memerhati. Hanya esak tangis Liza memenuhi ruang makan itu berlatarkan gerimis yang masih setia gugur di atap genting. Dengan perlahan Imran mengusap rambut Liza. Dia jadi tidak keruan melihat Liza berkeadaan begitu, mahu dipujuk tidak tahu dia caranya. Liza dengan dia beza umur 15 tahun. Boleh di anggap adik dan tidak juga keterlaluan jika di anggap sebagai anak.

“Liza sedih bang..” dalam esak tangisnya dia bercerita. Bilik audio di tutup rapat. “Mak tak terima Liza lagi.”
“Sabar lah Liza, orang macam kita ni memang payah di terima masyarakat. Apatah lagi keluarga sendiri.”
“Liza dah buat yang terbaik bang. Liza nak cari kerja, tapi tak dapat lagi. Liza nak balik kampung Liza tak berani.” Sendunya masih ada tapi makin berkurang.
“Liza, abang pasti satu hari mak akan terima Liza. Tak ada mak yang tak sayang anak. Dah jangan menangis.” Lembut suara Imran memujuk.

Dia juga punya masalah. Tapi di sini, mereka bagaikan sebuah keluarga yang saling berbagi rasa.

Mak, maafkan Imran. Sepanjang hayat ibunya, tak pernah dia memberi rasa senang pada orang tua itu, jauh sekali untuk menghiburkan hati tua itu. Namun segala yang terjadi, ibunya tetap menerimanya. Tetap sayang padanya. Tetap membelainya di kala dia memerlukan. Tapi dia tak hargai waktu-waktu itu. Dia terus-terus menyakitkan hati tua itu. Berbakul-bakul janji dan sumpah untuk dia berubah tapi sehingga ibunya memejamkan mata dibalut kain kafan dan ditabur kapur barus, dia masih begitu, malah makin teruk ketagihannya.

Makin dia tenggelam dengan bisikan dan ajakan nafsu yang bertemankan syaitan. Dia terbayang senyum ibu yang sentiasa manis. Tidak terpalit kesedihan walau di hatinya Imran tahu ibu terlalu kecewa dengannya. Terlalu-lalu kecewa. Entah mengapa ketika itu dia rasa terlalu rindu pada ibu. Teramat-amat rindu. Andai saja dia boleh memutar waktu, mahu saja dia kembali ke waktu kanak-kanak di kala dia masih putih dan tidak tercemar dengan dosa-dosa, di waktu dia rasa panas dan selamat dalam dakapan dan dodoi ibu yang melenakan malam-malamnya. Andai saja dia bisa.

Imran bangun, menuntun tangan Liza, mereka mendaki tangga dan menuju ke bilik audio. Dia mengisyaratkan Liza supaya jangan ke mana-mana. Dia membuka piano. Perlahan dia mengalunkan irama, lagu Ibu sebuah nukilan rasa Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Dia menyanyi meluahkan perasaan. Liza bungkam, bait-bait lirik itu membuatkan air mata bukan hanya Liza tapi Imran juga menitis perlahan. Sayu. Mak andainya mak ada, Imran mahu mak terus tersenyum. Ampunkan lah anak yang banyak berdosa ini mak. Ampunkanlah Imran.

Tidak kuat hatinya mendengar lagu itu, Liza segera meninggalkan bilik itu, dia menuju ke belakang rumah, duduk di tepi terrace, kedua kakinya bergayutan di dalam longkang kering yang bersih, perlahan dia mendail nombor ibunya. Dia terlalu rindu.

Azura diam mendengar cerita Mat. Dia sabar mendengar apa yang di luahkan oleh Mat. Kadang dia tidak faham apa yang cuba di sampaikan, tetapi menjadi mentor yang baik dia cuba memberi nasihat yang terdaya. Yang logik dan boleh diterima oleh Mat.

“Abis tu Mat nak buat camna ?” tanyanya. Mat menggelengkan kepala. Serabut.
“Mm..mat ta..ta..mau pe..pegi…t..tapi Pa…pp..Pa p..paksa.”
“Kalau untuk kebaikan apa salahnya. Kak Zura tau, tempat itu adalah pusat pemulihan yang paling baik di dunia.” Mat membalut tubuhnya.

Dia tidak mahu pergi. Tidak mahu tinggalkan rumah itu. Mereka adalah keluarganya. Dia suka. Terlibatannya dengan najis dadah angkara rasa bosan di rumah. Seorang anak ternama. Papa dan mama sibuk dengan kerja. Tujuan satu mengumpul kekayaan. Tapi bagi Mat apalah kekayaan yang melimpah ruah tanpa kasih sayang. Tiada ertinya. Hidup ini bukan kekayaan saja, hidup ini harus ada rasa cinta dan sayang, barulah lengkap.

Dia melalui zaman remaja yang memerlukan perhatian. Dia masih sangat muda. Baru 15 ketika dia terjebak dengan kancah itu. Mula-mula dilakukan kerana suka-suka, mungkin juga cara meluahkan rasa ketidak setujuan terhadap keluarganya. Papanya mengamuk bila mana tahu dia terlibat dengan dadah, terpaksa dia memalukan diri ke lokap untuk membebaskan satu-satunya anak yang ada. Malam itu Mat di tahan, ujian kencingnya positif dadah.

Sampai dirumah, di belasah teruk oleh papanya. Tanpa rasa kasihan, tanpa bertanya mengapa anaknya jadi begitu. Mat benci. Dia membawa diri, ditinggal semua harta. Apalah gunanya, dia tidak perlu duit itu semua. Menyara hidup dengan membuat pelbagai kerja, dia pernah menjadi atendan di tempat parkir kereta, tapi itu lebih membuat dia rasa seronok, duit yang tidak seberapa di habiskan dengan membeli dadah. Keluarga membuangnya. Walau mamanya menangis setiap malam , tapi kerana ego si papa yang tinggi, kedudukan dan pangkat lebih penting di biarkan saja. Sehinggalah Mama sendiri membawanya pulang tapi tidak ke rumah, dia terus di hantar ke pusat itu.

Awalnya dia memberontak. Antara penghuhi yang kuat mengamuk. Sukar didekati. Sombong dan angkuh. Sehinggalah Azura dengan perlahan memujuk dan membimbingnya. Kini sudah 2 tahun dia di situ. Sayangnya pada Azura seperti sayang seorang adik pada kakak. Dia sanggup melakukan apa saja untuk Azura. Tapi sekarang Papanya tiba-tiba mahu menghantar ke luar negara. Berubat katanya. Dia sudah baik. Padanya Azuralah ubat yang mujarab. Tanpa Azura dia seakan hilang arah.

“Mat, percayalah cakap Kak Zura, papa buat yang terbaik untuk Mat.”
“Kk..kena..pa ss..kra..ngg”
“Dulu mungkin dia tak berpeluang, sekarang Mat bagilah peluang itu padanya. Seperti Mat beri peluang pada kak Zura dulu.”

Mat diam. Tangannya melakar-lakar di atas meja. Dia masih sugul.

“Mat, kita tak akan dapat hidup bahagia sekiranya kita tak lepaskan apa yang kita rasa. Kalau kita tak maafkan apa yang terjadi sampai bila pun kita terbelenggu dengan sifat amarah.” Mat bangun.

Dia serabut. Dia mahu tinggal terus di situ. Dia punya kawan-kawan yang senasib dengan dia. Dia sudah selesa. Ya selesa di situ. Di tinggalkan Azura tanpa bicara. Biarkan, kalau terlalu memaksa manusia akan bertindak sebaliknya. Biar keadaan reda dulu. Biar Mat fikir apa yang di utarakan tadi.

Dari ruang bawah dia terdengar ketukan piano berirama syahdu. Pasti Imran. Hanya selepas Imran hadir, bilik audio itu seakan bernyawa. Menghiburkan diri sendiri atau kawan-kawan di situ. Azura menyelinap masuk, Imran sendirian. Dia terlalu asyik dengan alunan lagu klasik yang dimainkan. Walaupun Azura bukanlah peminat muzik klasik, dia tahu Imran sedang memainkan salah sebuah karya Beethoven.

Tak pasti dia akan tajuknya, tapi alunannya cukup memukau. Dia meletakkan tangan di atas kepala piano. Menghayati. Imran yang sedar kehadirannya merasakan jari-jarinya kaku, entah mengapa dia merasa celaru, not-not berterabur, cepat-cepat dihentikan petikan piano itu.
“Teruskan bermain.” Pintanya. Imran tersenyum, dia tidak mahu. Dia lebih suka berbicara.
“Moonlight Sonata kan ?,” katanya perlahan lalu terus duduk di sebelah Imran. Imran mengangguk dan memberi ruang untuk Azura.
“Susunan Beethoven memang indah semuanya. He’s a genius.” Dia melari-larikan jarinya atas kekunci piano itu. Tiada lagu, Cuma irama yang terhasil sambil lalu.
“Banyak instrument Imran pandai main kan.” Kali ini dia pula menekan kunci-kunci putih itu, tanpa irama hanya ton.
“Gitar dan piano saja.” Di perhatikan jari-jari halus dan runcing itu dengan kuku yang di potong pendek, menari-nari di atas kekunci. Tiada melodi hanya bunyi yang di hasilkan dari hentakan jari-jari comel itu.
“Come let me teach you one simple tune. Sini high note,” katanya sambil menekan kekunci putih yang di sebelah kiri sebelum memulakan dengan tune yang ringkas.

Azura memerhatikan penuh minat.
“Cuba.” Arahnya. Di mengatur jari-jarinya, tertinggal satu dan bunyinya menjadi sumbang. Azura ketawa.
“Camni, letak 3 jari sini, kemudian angkat , skip satu key dan letak balik jari telunjuk pada key ke dua.”
Azura tekan lagi. Sumbang juga. Imran tersenyum. Di pegangnya jari-jari itu. “Ikut I,” perlahan jari-jari yang bertindihan itu menekan kekunci piano menghasilkan bunyi yang lebih bermakna.

Azura terasa kejutan elektrik yang amat sangat. Kedekatannya dengan Imran membuatkan jantungnya hampir luruh. Bau haruman Davidoff Coolwater mencucuk hidungnya dengan enak. Imran juga merasakan getaran yang amat dahsyat. Dikawal perasaan dan emosinya agar tidak tersimpang dan agar tidak ketara dia menundukan wajahnya tepat memandang kekunci hitam putih itu. Dia suka keharuman rambut Azura. Dia sukakan keharuman yang berlegar di setiap inci tubuh wanita itu.

“Dah la, memang I tak boleh main piano.”

Imran tersengih. Di tutupnya piano, tapi masih duduk di sisi Azura. Dia tidak mahu bangun. Kalau boleh mahu selamanya di sisi wanita itu.

“So, how are you lately ?”
“Lebih ok. Cuma semalam I bagai nak gila…”
“Kenapa ? Ada kemahuan ke arah itu ?” Imran mengangguk perlahan-lahan, wajahnya tiba-tiba menjadi sugul. Dia menjadi malu.

Dia terguling-guling atas katil. Mukanya merah. Badannya mengigil. Jantungnya bagai disentap-sentap. Dia berzikir terus berzikir. Tak tahan, dia menjerit kuat. Habis buku-buku di balingnya, pintu di tendangnya..seketika kemudian beberapa petugas berlari ke dalam bilik. Setiap bilik di lengkapi kamera. Sekiranya terdapat penghuni yang mengamuk kerana ketagihan mereka akan segera memberi bantuan.

“Imran stay focus. Tarik nafas.” Aman memberi arahan.
“Aku nak benda tu Man, aku nak benda tu,” dia menjerit-jerit. Seorang petugas memegang kuat pinggangnya. Dia meronta-ronta. Kakinya menendang-nendang di udara.
“Rul bawak dia ke bilik bertenang.” Arah Aman, pengarah rumah itu.
“Man tolong aku, aku sakit Man.” Rayunya. “Korang ni kenapa nak seksa aku hoi.” Tanpa memperdulikan ratapan dan jeritannya, mereka mengheret Imran ke basemen.

Sebuah bilik yang di lengkapkan dengan alat-alat audio. Seketika kemudian ayat-ayat suci berkumandang. Mereka bertahlil beramai-ramai. Imran yang tadi liar duduk terjelepok di tengah-tengah bulatan petugas. Seorang daripada mereka membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Sungguh menenangkan.

Alunan suara merdu dengan tertib dan tartil, mententeramkan hatinya yang kacau. Tidak lama selepas itu dia turut bertahlil. Air mata mengalir. Ya Allah berilah aku kekuatan. Aku mau pulih. Setiap darah yang mengalir dalam tubuh manusia, setiap daging yang melitupi tulang temulang, setiap organ yang mempunyai tugas-tugas khusus, semuanya milik Allah. Kelemahan apa pun dapat di tewaskan sekiranya setiap satu itu berdenyut dengan denyutan kalimah Allah.

Kekuatan diri akan terlahir sekiranya kekuatan roh dan iman yang ampuh. Ketika itu apa pun dugaan yang hadir dapat dilewati dengan keredhaan dan hati yang aman. Setiap ujian Allah itu menandakan kasihNya pada hambaNya. Tidak lah Allah menurunkan ujian yang tidak mampu di bawa oleh hambaNya, sesungguhnya Allah maha mengetahui. Allah yang maha Penyayang.

Azura memandang tepat muka Imran. Wajah yang sedih.
“Sampai bila I harus begini Zura.” Dia tunduk membelek jari-jarinya. “I tak tahan lagi macam ni. Seksanya hanya Allah yang tahu.”
“Memang sakit, tambah Imran dalam proses recovery. Give yourself sometime. Ingat dulu Zura cakap apa ? “
“Always on high spirit” diulangnya kalimah itu. Azura mengangguk.
“I will always be here to support you,” dia memandang tepat ke dalam mata Azura. Mereka berpandangan dan terus hilang dalam sinar cahaya mata yang bening.
I need more than that Azura. More than that. Rintihnya sayu.
“Imran, sekali Imran mulakan semula, you akan hilang segalanya. Ingat tu. Anggaplah ianya bagai cinta yang kecundang. Jangan di toleh kebelakang lagi. Hati terluka tapi perjalanan di depan akan menjanjikan yang lebih indah lagi. Dan hanya waktu, hati akan terawat sendiri.” Senyum menghias pertuturannya.

Aghh.. wanita manis ini pandai berkata, tapi aku senang. Katanya menjadi perangsang. Jadi azimat buat ku.

“Andai perjalanan di depan lebih menyulitkan. Bagaimana ?”
“Siapa yang menyulitkan. Seandainya Imran mahu dia sulit, sulitlah jadinya. Ibarat di tengah simpang, satu yang penuh onak dan duri dan satu lagi indah dan menawan. Pilihan di tangan Imran.”
Imran tersenyum. Pandai.
“Andainya perjalanan itu berteman, bukankah ianya lebih indah.”
“Itulah adanya kami di sini. Sebagai teman. Dan teman sejati tak akan biarkan sahabatnya memilih jalan yang sukar itu.”

Imran membenarkan kata-kata Azura itu. Benarlah, sahabat yang sejati tidak akan biarkan sahabatnya melalui kesukaran bersendirian, paling tidak pasti ditemani. Soalnya sebelum bertemu Azura dia hanya memiliki kawan. Sahabat sejati tidaklah dia punya. Kawan memang ramai, waktu ketawa ramailah mengeliling. Di waktu duka, bertempiaranlah mereka. Itulah resam dan adat dunia. Tak ramai sahabat yang mahu menangis bersama, ketawa bersama. Tapi dia bersyukur kini dia mula sedar mana kawan dan mana lawan.

“Mind over matters,” sambung Azura lagi. “Tumpukan dan pusatkan seluruh kosentrasi minda pada satu objektif. Positif. Zura pasti segala fikiran-fikiran negatif boleh di hambat pergi.”
“Senang bila di bicarakan, tapi amat-amat sukar untuk di laksanakan,” kata Imran perlahan. Dia bangun dan pergi berdiri di tepi tingkap. Memandang ke halaman, rumput hijau basah di sirami air hujan yang masih terus mencurah.
“Itu satu cabaran. Hidup penuh cabaran. Takdir ditetapkan Imran melalui satu cabaran sulit, satu cabaran yang menguji kemampuan diri. Hanya mereka yang kuat bisa melintasi cabaran itu. Zura pasti dan sangat pasti Imran adalah dari kalangan mereka yang kuat. Allah dah pilih Imran, dia Maha Mengetahui.”
“Andai saja I punya fikiran yang sangat positif macam you.”
“Kita sama-sama belajar … sama-sama baiki kelemahan diri … kita sama-sama akan alirkan aura positif tu,” matanya galak merenung Imran.

Imran diam menelan semua kata-kata Azura. Akalnya sedang memproses semua yang di hambur padanya. Dia mahu alirkan aura positif dalam setiap salur darahnya tapi bagaimana kalau ada suara-suara yang sering bermain di fikirannya. Suara-suara itulah yang kadang membuatkan dia lemah. Membuatkan dia terangsang. Suara itu jugalah yang membuatkan dia tidak bisa berfikiran waras. Suara itu yang melemahkan seluruh sendi dan anggotanya. Suara itu harus digantikan. Dia mahu suara Azura terus membisik kata-kata yang memberangsangkan minda, yang menguatkan seluruh sel-sel otaknya yang nanti akan memberi aliran-aliran positif itu ke setiap sendi dan anggotanya. Dia hanya mahu suara itu. Hanya suara itu.

Mereka ke bilik pertukangan selepas itu. Layang-layang gergasi sudah semakin siap. Mat tekun mewarnakan bahagian ekornya. Imran membawa Azura melihat hasil kerjanya. Kemas.

“I ada something for you.” Mata kiri di kenyit. Di tarik tangan Azura ke belakang.
“Tutup mata.”
Azura menurut saja. Imran meletakkan sesuatu. Di tangannya sebuah frame gambar yang di ukir, halus dan berseni.
“I buat khas untuk you. Harap Zura suka.”
“Cantik.”
“Suka ?”
“A ah, very much. I nak letak kat ofis.”
“Kena cari gambar yang cantik ok.”

Azura melihat ketekunan Mat. Dia diam saja tidak bertegur sapa. Mungkin masih marah.
“Pandai Mat warna, cantik dan kena tone warnanya,” puji Azura. Mat diam terus. Tiada sebarang reaksi.
“Anak kecil merintih sejuk, hai ada budak lagi merajuk,” Imran pula menyampuk.
“Apa kata si kakak tua, kalau merajuk lekaslah tua,” balas Azura. Mat mula tersengih.
“Ka..k…la….tt…tua…” dengan jelingan dia menunjuk penumbuk pada Imran yang tersengih-sengih saja.

Bilik pertukangan itu bertukar menjadi riuh dan gamat dengan ketawa dan usik mengusik mereka.

“Sapa nak pekena teh tarik….” kata Azura, selepas menyimpan baki ketawa.

Semua di situ mengangkat tangan cepat-cepat.

“Jom ke bilik makan.”
“Alah ingat Kak Zura nak belanja mamak tadi…chis,” telah Karim.

Azura hanya ketawa dan mereka semua meninggalkan bilik itu dan menuju ke bilik makan.

No comments:

Post a Comment