Sampai sahaja dia di perkarangan rumah rumah di atas bukit itu dia terhenti. Kakinya terasa berat melangkah. Di cekalkan hatinya. Untuk kali yang terakhirnya. Aku harus pergi. Apa pun terjadi. Di satu sudut seorang wanita dalam usia pertengahan 50-an duduk menyimpuh, melihat tajam dengan ekor matanya sewaktu Azura merapati jenazah yang terkujur itu. Azura tidak memperdulikannya. Tujuan dia datang hanya satu, melihat wajah itu buat kali terakhir. Dia rindu, teramat rindu selama ini.
Beberapa saat dia menatap wajah itu, di tutupnya semula dengan penuh rasa kasih dan sayang. Ayah, meskipun ayah sudah berbuat tidak adil pada mama dan Zura, Zura tetap sayang ayah. Maaf Zura tak dapat beritau Mama, cukuplah kesedihan yang Mama tanggung berpuluh tahun… hatinya berkata walau tiada siapa yang mendengar tapi dia pasti ayahnya boleh mendengar keluhannya itu dan dia sangat sedar tidak patut di ucapkan pada sekujur mayat yang kaku tidak bisa membela diri. Mulutnya terkumat kamit menghadiahkan Al-Fatihah sebelum bangun beredar meninggalkan rumah suram itu.
Mat terperosok antara tong sampah di tepi tandas awam. Lelaki tadi masih berdiri di hadapannya. Wajahnya tidak menunjuk sebarang reaksi, cuma sinar matanya yang galak dah cukup membuat perut Mat kecut sekecut-kecutnya.
“Budak, hutang aku bila kau nak bayar ? Masa kau nak benda tu kau cari aku, sekarang kau lari pulak ye.”
“Ss..ssay..”
“Arghh malas aku nak dengar kau ni, dah la gagap. Kau sekarang nak jadi baik aku tak kisah, tapi hutang aku tu bila ko nak langsai, ni nasib baik aku jumpa kau, 2 tahun aku cari. Mana kau pergi ?” soalannya tidak minta di jawab. Mat diam saja, di keluarkan dompetnya di tunjukkan pada lelaki itu. Kosong.
“Kurang asam punya budak, ingat aku nak percaya ke…” di seluknya saku seluar, di rabanya badan Mat. Geli. “Nak mampus kau ni..”
“Dd..dua mm…minggu…aakkuu bb…bayar”
“Satu minggu…” jerkahnya.
Mat angguk cepat. “Jj..umpa..aa..aku t..tem..pat ..biasa…”
“Baik, satu minggu. Kalau tak nahas kau,” katanya sambil membuat gaya sembelih di lehernya. Mat menelan liur.
Suasana malam sepi sekali. Bunyi cengkerik bersahutan. Suara si jampuk perlahan-lahan. Mendayu-dayu, sedih mendengarnya. Imran melihat keluar tingkap. Bulan mengambang penuh. Rindu pada seseorang menjelma dalam sanubarinya. Di helanya nafas. Kedua-dua belah jari di masukkan ke dalam poket baju melayunya. Apa agaknya dia buat sekarang. Dia mengimbau kenangan malam yang indah ketika bersama Azura. Masih terasa akan renungan manja Azura. Masih dia terasa panas jari halus itu dalam genggamanya. Apakah dia merasakan apa yang aku rasa. Imran melepaskan keluh kecil. Dia melihat jarum jam yang terdetik, tiada sedetik pun yang berlalu tanpa Azura di ingatannya. Hanya masa yang akan menjawab persoalannya tadi. Dia menutup tingkap, bapanya yang disangka sedang mendengar Berita Jam 10, rupanya dah tertidur di kerusi malas.
“Ayah, bangun, masuk bilik,” Haji Zaki terkejut.
Dia biasa begitu, kadang terjaga jam 12 baru dia masuk ke bilik menyambung lenanya. Tanpa berkata dia terus ke bilik. Imran tersenyum. Bapanya yang berhati lembut dan sangat penyayang. Tak pernah di marahi kalau mereka adik beradik membuat silap. Imran pula duduk di kerusi malas panas badan bapanya masih tersisa, stesen tv di tukar-tukar. Tiada yang menarik minatnya. Akhirnya dia mencapai telefon. Tiada jawapan. Di cuba lagi juga tiada jawapan. Cuba lagi, tiada juga. Hai kemana pulak. Handphone di campak ke meja kecil di sisinya.
Dia menatap siling. Bosan. Besok balik lah. Tak boleh tahan camni. Lagipun sudah 2 malam dia di kampung. Puas dia ke rumah-rumah saudaranya. Puas dia berjalan sampai ke Pulau Pinang dengan ayahnya, hanya untuk makan nasi kandar di sana. Terdengar desas-desus sanak saudara yang mengatakan Imran mahu berubah. Ada yang tergelak, ada yang tersengih, tak kurang juga yang mempertahankan dirinya. Kita tengok je la….Budak tu dadah dah macam makan nasi…alah Mak Lang percaya, Imran tu mesti baik gak satu hari….macam-macam, nak salahkan mereka tak boleh juga, dia yang selalu kecundang.
“Bila lagi ko nak balik sini ?” Haji Zaki yang berdiri di tepi kereta memerhati saja Imran memasukkan beg ke dalam bonet.
“Tak tau lagi, nanti senang saya balik jenguk Ayah. Ayah apa-apa call ok.” Dia menghempas bonet dan memastikan ianya tertutup rapat.
“Imran, apa-apa pun yang kau tengah usahakan sekarang, Ayah tetap doakan kamu.” Imran terdiam mendengar kata-kata itu.
Dia menggenggam jari sebelum di patah-patahkan seraya mengeluarkan letup-letup kecil dia mengangguk perlahan. Tangan tua itu di salam dan di kucup penuh rasa hormat.
“Terima kasih ayah,” ucapnya perlahan. Tanpa dia sedari dia terus memeluk tubuh tua itu. Haji Zaki menepuk-nepuk lembut di belakangnya. Entah mengapa dia berasa sedih benar mendengar kata ayahnya kali ini. “Ayah tau, susah untuk Imran, tapi berusahalah, Allah bersama orang yang sabar.”
Dia menelan liur menahan sendu. Cuba dia menahan air mata dari terjatuh mujurlah spek mata hitam yang dipakainya menghalang Haji Zaki dari melihat matanya yang sudah berkaca. Ketika itu dia terasa seperti anak kecil yang perlu perhatian.
Sepanjang perjalanan itulah yang terngiang-ngiang di terlinganya. Aku harus kuat. Ya Allah tolonglah hamba Mu ini, perkenankanlah hajat ayahku. Aku tidak sanggup lagi mengecewakan hati tuanya.
No comments:
Post a Comment