Sunday, May 24, 2009

Bab 1

Rumah yang terletak di hujung jalan itu sudah sibuk dengan pelbagai aktiviti sejak awal pagi lagi. Di padang hadapan terdapat beberapa penghuni rumah yang sedang membersihkan kawasan itu. Di hujung sudut halaman itu pula terdapat seorang lelaki berusia awal 20-an sedang sibuk menanam bunga matahari. Dari belakang seorang gadis yang sedang menyiram air pada pokok-pokok yang di jaga rapi itu menghalakan hos getah dengan sengaja ke arah pemuda tadi. Terdengar jeritan marah dan ketawa gelihati berlawan-lawanan. Penghuni-penghuni lain yang sibuk dengan tugas masing-masing berhenti seketika dari aktiviti mereka dan turut sama dalam kekecohan itu. Suasana gamat dan huru hara. Jerit pekik di selang seli dengan ketawa.

Seorang lelaki tinggi, berambut lurus sampai paras bahu, berjeans hitam dan t-shirt putih berlengan pendek, berselipar jepun, berjalan perlahan ke halaman rumah yang riuh rendah dengan hilai tawa dan jerit pekik. Wajahnya cengkung, matanya redup walau agak termasuk ke dalam, namun pada bibirnya yang tipis ada segaris senyuman yang menaikkan manis di wajahnya. Dia berjalan ke arah pemuda yang di sirami air itu.
“Mat !!!” laungnya dan berhenti tidak jauh dari percikan air yang tersembur. Pemuda itu menoleh lantas berlari ke arah lelaki itu.
“Abang, tt..tt..tolong s..s..saya, si Li..Liza ni ja jahat…” Mat yang gagap bertambah gagap disirami air. Liza masih terus menghala gelung getah berwarna oren itu, air terpercik kasar. Mat cepat-cepat menyorok di belakang lelaki itu. Imran terpaksa beralih sedikit ke kiri untuk mengelakkan dirinya dari turut di sirami air. Liza menekan sedikit muncung hos getah membuatkan pancutan air semakin tinggi sebelum cepat-cepat mengalihkan sasarannya ke tanah, sasarannya ialah Mat bukan Imran.

“Ala Abang Imran ni, jangan lindung dia…..” senyumnya masih terlekat. Imran hanya ketawa.

Dua bulan lepas, Imran mendaftar diri mengikuti program yang di anjurkan persatuan itu. Dia punya tujuan. Dia punya niat. Dia juga sudah nekad. Kegagalan harus di hentikan. Kini harapannya besar, dia merasakan ada semangat baru berputik dari dalam dirinya. Dia mahu pulih, azamnya kukuh kali ini, dia tidak mahu gagal lagi, gagal kerana kesilapan diri sendiri. Dia mahu hidup seperti orang lain, mahu merasa bahagia yang sudah lama hilang. Lebih 20 tahun hidupnya dihabiskan, tersisa begitu saja. Dua puluh tahun bukan jarak waktu yang sedikit, dua puluh tahun hidupnya hilang, di rengut kealpaan dirinya sendiri.

Cukuplah. Dia tidak mahu dadah menjadi raja, menentukan hala hidupnya, menjadi pengemudi tujuannya. Cukuplah. Permulaan semuanya hanyalah dengan merokok sahaja, konon kata kawan-kawan orang lelaki mesti pandai merokok, baru nampak macho, jadinya seawal usia 12 tahun dia menggunakan duit sekolah membeli rokok di kedai mamak. Lama-kelamaan dari rokok dia mencuba ganja pula, bersama-sama beberapa kawan baiknya mereka sama-sama tenggelam dalam asap ganja yang sangat tengit dan meloyakan.

Pun begitu satu pujian harus diberikan pada Imran, dia tidak pernah mengendahkan pelajarannya, malah dia mendapat keputusan baik semasa SPM, dan dapat pula menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di luar negara. Hidup bersendirian tanpa kawalan orang tua menjadikan dirinya makin jauh tersasar lantas berkenalan pula dengan heroin. Masih untung anak Haji Zaki ini, segila-gilanya dia semasa di sana, masih boleh membawa pulang segulung ijazah. Sayangnya tabiatnya menjadi semakin kronik, dia semakin ketagihan dengan bermacam-macam jenis dadah di pasaran, semakin jauh hanyut dan hampir-hampir karam.

Bukan tidak pernah dia cuba menjauhkan diri dari benda haram itu tapi setiap kali dia berjauhan, rasa rindu mengamit, bak orang yang bercinta, dia akan kembali semula pada kekasihnya itu. Terlalu asyik masyuk dengan cinta terlarang itu.

Imran berbisik sesuatu kepada Mat yang hanya mengangguk dan tersengih-sengih. Liza yang hanya memerhati itu dapat menghidu sesuatu bakal terjadi, dengan cepat dia berlari ke hujung halaman rumah itu dan menyorok di sebalik pohon sena. Mat dan Imran mengejarnya dari belakang, suasana gamat sungguh. Penghuni-penghuni lainnya turut bersorak sama pabila Liza sudah berada dalam tawanan Imran. Mat tersengih-sengih menghampiri dia yang meronta-ronta ingin lepas dari pegangan Imran. Jeritan dan ketawa berselang seli. Mat semakin hampir, hos getah di tangannya di acu tepat mengenai muka Liza, Imran segera melepaskan pegangan dan berlari ke tepi Mat sambil ketawa puas hati.

“Mat !” laung satu suara dari belakang.
Ketiga-tiga mereka terus memusingkan kepala. Hos getah terlerai dari genggaman, air berkumpul di tanah yang dipenuhi rumput hijau membasahi kaki mereka yang hanya berselipar jepun. Terasa dingin di balik panas mentari yang baru memancarkan suria.

Seorang wanita berdiri dengan mata yang di kecilkan, dia mengeleng-gelengkan kepalanya membuatkan rambutnya yang di ikat kemas turut sama bergoyang-goyang. Wajahnya serius memandang ketiga-tiga mereka.

“C..c Cik Zz Zura…” Mat dan Liza segera menghampiri Azura. Mereka bersalaman dan bertanya khabar. Imran hanya memerhati, terkesima dengan pandangan yang cantik. Orangnya tidak tinggi, sekadar paras bahu Imran sahaja, bertubuh kecil dengan bentuk badan yang sempurna, kulitnya putih tambah terserlah dengan baju kemeja ungu muda dan seluar hitam yang disarungkan, matanya tidak besar dan tidak juga kecil namun sirna yang dipancarkan cukup memukau kalbu, alisnya bagai dipantis, bibirnya tipis di oles gincu berona lembut.

“Apa pagi-pagi dah kecoh ni ?” suaranya tegas. “Tengok habis basah si Liza ni.”

“Bb…bbukan ss..saya yang mm..mulak..kan.”

“Maaf Kak. Liza yang mulakan semuanya.” Dia tunduk memandang air yang masih terus mengalir.
Azura memandang sebentar pada Imran yang berdiri senget di depannya lagi asyik memerhati. Dia menghadiahkan sebuah senyuman.
“Saya Azura,” tangan di hulur, Imran segera menyambutnya. Matanya masih terlekat pada wajah bujur sirih yang amat mempersonakan.
“Imran,” jawabnya ringkas.
“Abang Imran ni baru 2 bulan kak” terang Liza tanpa di suruh.
“Selamat datang.”
“Terima kasih”
“Cc Cik Zz Zura ni men..men…tol k..k..kami,”
“Bukan mentol la…MENTOR..apa la dia ni” potong Liza cepat, tangannya menepuk belakang Mat menyebabkan badannya tersentak ke hadapan.

Mat hanya tersengih, selalu dia tersilap, mentor..mentol..fungsinya sama saja menerangi yang gelap. Padanya Azura ibarat mentol, sentiasa ceria dan bertenaga. Azura ketawa kecil, dia menarik rambut yang dipuput angin, Imran terpesona lagi.

Dua bulan dia tidak dapat ke pusat itu, sibuk dengan tugasnya di Brunei. Semalam pulang dan hari ini terus dia ke rumah itu. Azura telah lama membabitkan diri dalam pertubuhan bebas seperti itu. Dia suka berkongsi pengalaman dan berbagi kasih dengan mereka yang memang memerlukan. Hidupnya terasa lengkap ketika mana dia dikelilingi oleh mereka yang memerlukan bimbingan dan kata-kata semangat, dia pelajari erti hidup dengan berkongsi rasa, pengalaman orang lain di jadikan iktibar dan panduan agar diri tidak sesat dan terjerumus ke lembah-lembah hitam yang menakutkan.

Dia sudah mengabdikan dirinya sejak awal penubuhan persatuan itu kira-kira lapan tahun yang lalu. Walau usia persatuan itu masih muda tapi ianya merupakan antara persatuan yang berjaya dalam membantu penagih-penagih tegar kembali ke jalan yang benar. Rasa tanggungjawabnya terhadap mereka sangat tinggi, dia menerima mereka seadanya, tidak ada prejudis walau apapun latarbelakang mereka.

Awal pembabitannya, dia mengundang seribu reaksi dari ibunya.

“Memang la bagus involve dalam persatuan-persatuan begini, but you are risking your life with drug addicts,”
“Mak, they are human too,” Azura merasakan tidak adil mereka di katakan begitu.

Penagih juga manusia dan mereka berhak di beri peluang. Dia percaya setiap manusia di muka bumi ini berhak di beri peluang. Bagaimana mahu mereka kembali ke pangkal jalan kalau sering di sisih dan tersisih, kalau tiada siapa yang peduli dan tidak mahu ambil tahu. Maka nanti yang sesat akan terus sesat dan wujudlah jurang yang lebih besar di antara mereka.

“Orang-orang macam mereka ni tak boleh di buat apa dah,” sugul wajah Zubaidah melihat anak kesayangannya.
“Mak, kerana tanggapan kita yang macam tulah buatkan niat mereka nak kembali ke pangkuan jalan selalu terbantut,” semakin bersemangat tubuh kecil itu menegakkan kemahuannya.
“Kita kena support mereka, kena dengar …ye kita kena DENGAR mereka,” matanya di bulatkan , memang penagih-penagih ini jarang di dengari masalah mereka, manusia lebih suka menghukum dari mendengar, hasilnya mereka terus jauh tersesat dan tidak mahu patah kembali ke asalnya.

“Kak Zura nak jumpa En. Aman jap. Nanti kita sembang ok. Banyak benda nak catch up ni,” ucapnya pada Liza dan Mat yang mengangguk serentak.
“Nanti kita jumpa lagi” ditujukan pula pada Imran yang dari tadi memilih untuk jadi pemerhati sahaja. Dia berlalu meninggalkan mereka yang masih tersenyum. Gembira melihat Azura semula.

Seperti ada perakam, minda Azura memainkan semula rakaman senyuman Imran yang di ambil baru tadi, entah mengapa bagai ada satu daya tarikan yang sukar di jelaskan. Sambil terus melangkah menuju bangunan utama rumah itu, dia menggeleng-gelengkan kepalanya, seolah-olah mahu imej-imej itu dihentikan dari terus berputar, sayangnya ianya tetap terus bermain. Dia membulatkan matanya melihat ke atas, dan tersenyum sendiri.

“En Aman,” kepalanya terjongol dari daun pintu kaca bilik pejabat. Bilik itu tidak besar, tetapi tingkap-tingkapnya yang luas menampakkan pandangan dari luar menjadikan bilik itu terang dan bertenaga. Dari situ terpamer jalanraya yang bersimpang siur, kalau hari kerja memang penuh sesak tapi hari ini keadaan trafik sangat lengang dek kerana hujung minggu.
“Hei Azura,” tumpuannya pada sehelai kertas terhenti. Azura duduk tanpa di suruh lantas menghulurkan sebuah bungkusan plastik.
“Untuk Diana.”
“Chocolates lagi, mengamuk la mak dia.”
Azura ketawa, “Sorokkan. Share it with her only.”

Dia memerhati atas meja yang sentiasa penuh dengan kertas-kertas, fail dan buku-buku, sebelum menyambung, “So, ada penghuni baru ?” Dia lebih mahu tahu siapakah gerangan Imran yang baru tadi bertemu. Tertarik. Mungkin.

En Aman mengangguk, cermin mata di tanggalkan.
“2 orang tapi satu tu masuk je esoknya dah lari.”
Mata Azura terbeliak, mulutnya terlopong.
“Mak ayah suruh masuk, esok malam geng datang bawa lari. Now dah jadi kes polis.”
“Serious…”
“The parents nak saman kita pula, ni surat dari lawyer.” Dahi lelaki separuh usia itu berkerut, misainya bergoyang-goyang,
“Tak apalah bukan tak biasa kita kena benda-benda macam ni ye tak..” senyum kembali di wajah tenang lelaki itu. Azura mengangguk dan dia pingin benar tahu mengenai penghuni baru yang seorang lagi.
“Yang lagi seorang ?”
“Imran.. hardcore , banyak kali keluar masuk pusat serenti.” En. Aman bangun dan membuka kabinet fail di belakangnya. Fail kertas berwarna kuning di keluarkan dan dihulurkan pada Azura. Isi kandung diteliti, laporan perubatan dari Hospital Kuala Lumpur ada dikepilkan sama. Dia menghela nafas. Memang penagih tegar.
“Dia under you lah.” Sambungnya lantas kembali duduk bersandar ke kerusi yang berkeriut bunyinya. Bungkusan coklat di buka dan dikeluarkan sepeket Hersheys. Seketul coklat di masukkan ke dalam mulut dan di hisap perlahan. Wajahnya mengambarkan kesedapan yang sedang di rasai.
“Yang hardcore je mesti bagi saya,” jawab Azura mengulum senyum di sambut ketawa En. Aman, dia mengangkat bahu dan mencebikkan bibirnya, jarinya membuka pembalut berwarna keemasan sebelum memasukkan satu lagi coklat ke mulutnya.
“Cabaran ni,” bisik Azura sambil terus membelek dokumen-dokumen yang terdapat di dalam fail kuning itu.
“I tahu you boleh handle,” itu sahaja jawapan dari En Aman membuatkan Azura tidak terkata apa lagi.

1 comment:

  1. Kalaulah background cerah rasa senang nak baca kot... bagi yg dah rabun 'siang malam' cam saya ni, bermasalah sket nak membaca....
    Dah baca semua novel.. se,ua best2 belaka....

    ReplyDelete